Permohonan PSU 1.0 diluluskan mencecah RM12.69 bilion | DagangNews Skip to main content

Permohonan PSU 1.0 diluluskan mencecah RM12.69 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Setakat 8 Januari, permohonan Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 yang diluluskan mencapai nilai RM12.686 bilion.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sehingga 30 September 2020 iaitu tarikh tutup PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah program itu. 

 

"Setakat 8 Januari, sejumlah RM590.35 juta telah disalurkan kepada 57,146 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 475,510 pekerja.

 

“Di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, setakat 8 Januari, seramai 129,004 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

 

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” jelasnya ketika menyampaikan Laporan Laksana Ke-37 hari ini. 

 

Sementara itu, Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran pula menyaksikan seramai 134,137 individu telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan setakat 8 Januari. 

 

Senarai kursus-kursus yang mendapat permintaan boleh dilihat melalui pautan Kementerian Kewangan, ujar Tengku Zafrul.

 

Jelasnya, pemohon juga boleh layari laman web agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan.

 

Di bawah subsidi pengangkutan awam MY30, sebanyak RM127.74 juta telah disalurkan bagi langganan 751,414 pas bulanan pengangkutan awam tanpa had bernilai RM30 setakat 8 Januari.

 

“....Yang disediakan khusus untuk warganegara Malaysia (tiada peningkatan berbanding minggu sebelumnya). 

 

“Seperti yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021, inisiatif ini dilanjutkan ke tahun 2021 bagi terus menggalakkan mobiliti dan mengurangkan beban kos pengangkutan awam untuk rakyat,” tambahnya lagi. - DagangNews.com