Perniagaan kargo udara mampu bantu AirAsia X bernafas semula | DagangNews Skip to main content

Perniagaan kargo udara mampu bantu AirAsia X bernafas semula

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Feb - Perniagaan kargo udara akan menjadi 'penyambung nyawa' kepada AirAsia X Bhd. untuk terus bernafas dalam industri penerbangan setelah syarikat itu terjejas dengan teruk akibat pandemik COVID-19.

 

Penganalisis Public Investment Bank Research, Denny Oh berkata, perniagaan kargo udara masih kekal kukuh di tengah-tengah persekitaran pandemik dengan permintaan dijangka terus meningkat melepasi paras sebelum pandemik (2019) sebanyak 13% tahun ini. 

 

Katanya, ini menyaksikan pengangkutan kargo udara sebagai pertumbuhan baharu kepada syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu. 

 

"AirAsia X mengendalikan 3 pesawat pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021 dan bercadang untuk menambah 1 pesawat sebulan, dengan sasaran operasi sepenuhnya menjelang akhir suku ketiga 2022.

 

"Hasil kargo dan pajakan dijangka terus berkembang apabila lebih banyak pesawat secara beransur-ansur kembali beroperasi, ditambah dengan hasil penerbangan berjadual apabila pasaran antarabangsa dibuka semula," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, AirAsia X terus mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM11.94 juta pada suku kedua di belakang hasil sebanyak RM119.31 juta.

 

Tidak ada maklumat kewangan perbandingan yang tersedia untuk tempoh yang sama tahun yang terdahulu memandangkan tahun kewangan kumpulan berubah dari 31 Disember 2020 kepada 30 Jun 2021.

 

Dalam tempoh 3 bulan sehingga Disember 2021, syarikat itu memperoleh pendapatan sebanyak RM119.4 juta melalui operasi kargo dan pajakan, naik sebanyak RM48.5 juta atau 68% berbanding suku sebelumnya dan peningkatan berjumlah RM112 juta daripada suku yang sama pada 2020, yang hanya merekodkan hasil sebanyak RM7.4 juta.

 

Menurut Oh, meskipun keputusan kewangan di bawah jangkaan, tetapi prospek kumpulan semakin berkembang pada masa akan datang terutama dengan pembukaan sempadan antarabangsa secara berperingkat dan model perniagaannya yang berorientasikan kargo. 

 

"Kami juga menyukai pelan pemulihan kumpulan, walaupun nilai penuh hanya mungkin dicapai dengan pemegang saham melalui keseluruhan pelaksanaan korporat (termasuk terbitan hak)," jelasnya. 

 

Penstrukturan semula hutang yang dicadangkan akan berkuat kuasa selepas serahsimpan Perintah Sekatan dengan Pendaftar Syarikat Malaysia, dijangka dilaksanakan dalam beberapa minggu akan datang.

 

Penyerahan itu bermakna bahawa skim itu berkuat kuasa sepenuhnya dari segi undang-undang, dengan kesan kewangan ditunjukkan pada suku seterusnya berakhir 31 Mac 2022.

 

Secara keseluruhan, Public Investment tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan kumpulan, sebaliknya mengulangi saranan 'outperform' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.30. 

 

Setakat 9.50 pagi ini, harga saham AirAsia X susut 0.05 sen atau 0.93% kepada 53 sen dengan 66,000 saham diniagakan. - DagangNews.com