Pertama Digital dapat 99% kelulusan pemegang saham bagi melupuskan BeTop berharga RM70 juta | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital dapat 99% kelulusan pemegang saham bagi melupuskan BeTop berharga RM70 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Pertama Digital Berhad, syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia bersedia untuk menjadi pemain perkhidmatan digital sebenar selepas ia berjaya memuktamadkan pengeluarannya daripada perniagaan tekstil.

 

Hari ini, Pertama Digital mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk menyelesaikan pelaksanaan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam anak syarikat tekstilnya yang berpangkalan di China, BeTop, kepada Gifted Investments Limited dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM70 juta.  

 

Sebanyak 99% undian diterima untuk menyokong penjualan aset itu. EGM secara maya itu dihadiri pemegang saham dan wakil mereka serta ahli lembaga pengarah Pertama Digital dan dipengerusikan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutifnya, Tun Zaki Tun Azmi.

 

Tun Zaki berkata, penyelesaian digital yang ditawarkan setakat ini telah diterima dengan sangat baik dan menunjukkan prospek pertumbuhan yang cerah. 

 

“Dengan pelupusan tersebut dijalankan, kami juga akan mengklasifikasikan semula Pertama Digital daripada syarikat berasaskan tekstil kepada perniagaan digital dan patuh Syariah. Kami membangunkan dan mengendalikan eJamin, penyelesaian pembayaran ikat jamin mahkamah melalui telefon pintar pertama di dunia, yang kini digunakan di mahkamah Malaysia.

 

“Kami juga secara eksklusif mengendalikan mySMS 15888, perkhidmatan pesanan sedia ada yang digunakan oleh agensi kerajaan. Selain itu, kami juga memiliki aplikasi pembayaran mudah alih MyPay,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

pertama
Tun Zaki Tun Azmi

 

 

Pengarah Strateginya, Saify Akhtar menambah, dengan pelupusan perniagaan legasi kumpulan, Pertama Digital kini bebas untuk melaksanakan strategi inovatifnya dengan lebih cekap untuk mengubah cara agensi kerajaan dan perusahaan mendekati pendigitalan dalam sektor yang berkembang pesat ini. 

 

"Bukan sahaja di Malaysia, tetapi dalam pasaran baru muncul lain seperti Indonesia, Bangladesh dan Nigeria. Tambahan pula, sebagai syarikat Malaysia, pemegang kepentingan dan kepimpinan kami kini akan mempunyai majoriti tempatan. 

 

"Syarikat ini akan terus menyampaikan penyelesaian dan perkhidmatan digital yang pantas untuk prestasi dalam perkongsian rapat dengan kerajaan dan perniagaan," katanya.

 

Sebagai tambahan kepada pelbagai penyelesaian digital yang telah ditawarkan pada masa ini, Pertama Digital sedang dalam proses melancarkan "neobank" pertama Malaysia dengan kerjasama bank sedia ada.  

 

Tidak seperti bank digital, neobank tidak memerlukan lesen perbankan kerana kumpulan boleh menggunakan lesen perbankan daripada rakan kongsi perbankan sedia ada.  Kumpulan juga akan secara aktif mengejar sasaran pemerolehan dalam sektor teknologi kerajaan.

 

Sehingga kini, pelupusan BeTop telah berkembang sehingga tranche 2, yang telah siap pada 16 Julai 2021. 

 

Pada 21 September 2020, bayaran tunai pertama sebanyak RM12 juta telah diterima daripada GIL, diikuti oleh, pembayaran tunai kedua sebanyak RM18.515 juta pada 16 Julai 2021. Pada masa ini, Pertama Digital memiliki pegangan sebanyak 52% dalam BeTop, berdasarkan perjanjian tranche 2. - DagangNews.com