Pertikaian tanah Felda-Synergy Promenade ke prosiding timbang tara | DagangNews Skip to main content

Pertikaian tanah Felda-Synergy Promenade ke prosiding timbang tara

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Isu perjanjian 24 bidang tanah milik Felda di Jalan Semarak di sini, antara Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) akan diteruskan dengan prosiding timbang tara.

Ini berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai yang menolak permohonan FIC selaku plaintif untuk menghalang SPSB daripada meneruskan prosiding timbang tara berhubung isu berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Amrit Pal Singh dan RK Sharma yang mewakili SPSB selaku defendan, kepada pemberita selepas prosiding kes itu hari ini, lapor Bernama.

Amrit Pal berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati sebarang isu membabitkan FIC dan Synergy Promenade harus didengar melalui prosiding timbang tara.

"Permohonan FIC untuk menghalang Synergy Promenade meneruskan prosiding timbang tara ditolak oleh mahkamah dengan kos RM25,000," katanya.

Peguam Kumar Kanagasingam bertindak bagi pihak FIC.

Permohonan difailkan FIC selaku plaintif dalam saman pemula pada 24 Januari lalu, memohon deklarasi bahawa artikel 9.04 Perjanjian Pembangunan pada 2 Jun 2014 yang dilaksanakan antara plaintif dan defendan adalah terbatal dan tidak sah, tidak berkuat kuasa dan/atau tidak dapat dilaksanakan.

Plaintif berkata prosiding timbang tara yang dimulakan oleh defendan melalui Notis Timbang Tara  pada 25 November 2019 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) terhadap plaintif adalah terbatal dan/atau tidak sah dan prosiding itu adalah penyalahgunaan proses.

FIC juga mendakwa defendan telah mengetepikan hak yang mungkin ada untuk merujuk apa-apa pertikaian atau perbezaan yang menyentuh atau mengenai perjanjian pembangunan kepada timbang tara. 

Permohonan itu dibuat atas alasan, pada 14 November 2019, plaintif dan badan berkanun mereka Felda,  memulakan tindakan terhadap defendan dan pihak ketiga yang lain, berasaskan penipuan dan konspirasi dilakukan oleh defendan dan pihak ketiga yang lain untuk menyebabkan plaintif dan Felda melaksanakan pembangunan 24 bidang tanah milik Felda di Jalan Semarak, yang projek itu dikenali sebagai Kuala Lumpur Vertical City Project (KLVC).

Menurut plaintif, pada 25 November 2019, defendan memulakan prosiding timbang tara terhadap plaintif yang menuntut dan menyatakan antara lain semua pertikaian dan perbezaan antara defendan dan plaintif yang timbul daripada perjanjian pembangunan patut dirujuk kepada timbang tara menurut Artikel 9.04 Perjanjian Pembangunan itu.

FIC berkata defendan dan syarikat berkaitannya Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (SPKLVC) telah  memulakan dua prosiding mahkamah berasingan terhadap plaintif dan Felda pada tahun lepas berhubung dua bidang tanah Felda di Jalan Semarak dan perjanjian pembangunan untuk penyerahan pemilikan kosong 23 bidang tanah Felda di kawasan tersebut.

Kata FIC, dua prosiding itu serta prosiding timbang tara membabitkan isu sama iaitu berkaitan  pembangunan tanah-tanah Felda di Jalan Semarak. - DagangNews.com