Petronas jual kepentingan dalam projek gas asli Shah Deniz | DagangNews Skip to main content

Petronas jual kepentingan dalam projek gas asli Shah Deniz

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjual keseluruhan 15.5% kepentingannya dalam projek gas asli Shah Deniz di sektor Azerbaijan di Laut Kaspia kepada syarikat minyak dan gas Rusia LUKOIL dengan harga AS$ 2.25 bilion.

 


LUKOIL dalam satu kenyataan semalam berkata, penyelesaian transaksi itu bergantung pada penentuan syarat-syarat sebelumnya, termasuk persetujuan oleh SOCAR, Syarikat Minyak Negara Azerbaijan.

 

 

Menurut laporan Theedgemarkets, setelah selesai penjualan, ekuiti LUKOIL dalam projek tersebut akan meningkat dari 10% kepada 25.5%. Pihak lain dalam projek ini adalah BP (operator, 28.8%), TPAO (19%), SOCAR (10%), NICO (10%), dan SGC (6.7%).

 


Menurut laporan berita, Petronas pada tahun 2014 membeli 15.5% kepentingan dalam projek gas asli Shah Deniz dari Statoil yang berpusat di Norway, yang kini dikenali sebagai Equinor ASA, dengan harga AS$ 2.25 bilion.

 

 

Presiden LUKOIL, Vagit Alekperov berkata, peningkatan kepentingan LUKOIL dalam projek Shah Deniz mewujudkan peluang baharu untuk bersinergi dalam sektor ekonomi yang berorientasikan masa depan dari  Rusia dan Azerbaijan.

 



"Kira-kira ribuan (dari) perniagaan Rusia, termasuk LUKOIL, terlibat dalam pelaksanaan Rancangan Tindakan untuk Pembangunan Vektor Utama Kerjasama antara Rusia dan Azerbaijan, yang ditandatangani pada 2018 dalam pertemuan dua pemimpin itu," katanya.

 

 

Medan gas Shah Deniz terletak di sektor Azerbaijan di Laut Kaspia, kira-kira 70 kilometer ke tenggara ibu kota Azerbaijan Baku, menurut kenyataan LUKOIL. -DagangNews.com