Pinjaman bank untuk beli rumah, kereta meningkat | DagangNews Skip to main content

Pinjaman bank untuk beli rumah, kereta meningkat

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Pinjaman runcit atau pinjaman bank yang diberikan kepada individu bagi tujuan pembelian aset dan kenderaan menyaksikan peningkatan sebanyak +5.7% pada Januari 2021 kepada RM956.6 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Kadar pertumbuhan pinjaman bagi pembelian kenderaan dan hartanah kediaman kekal konsisten di mana masing-masing menokok +5.6% kepada RM167.6 bilion dan +7.0% kepada RM650.2 bilion, tahun ke tahun, menurut MIDF Research. 

 

“Setakat Disember 2020, kedua-dua segmen itu menyaksikan perkembangan pinjaman masing-masing sebanyak +5.6% kepada RM167.4 bilion dan +7.0% kepada RM646.8 bilion tahun ke tahun. 

 

“Kami menjangkakan pinjaman runcit akan terus memberi sokongan kepada pertumbuhan pemberian pinjaman secara keseluruhannya bagi 2021 terutamanya dengan pelbagai insentif diberikan untuk pembelian kenderaan dan hartanah,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Untuk rekod, pertumbuhan pinjaman sistem perbankan setakat Januari 2021 berkembang pada kadar yang agak pantas iaitu melonjak +3.8% berbanding +3.4% pertumbuhan dicatatkan setakat Disember 2020. 

 

MIDF melihat lonjakan dalam tiga segmen pinjaman utama iaitu pinjaman gadai janji, kereta dan modal kerja pemacu kepada pertumbuhan berkenaan di mana ia berkembang sebanyak +5.4% tahun ke tahun kepada RM1.22 trilion.

 

“Permohonan pinjaman pula meningkat sebanyak +9.7% pada Januari 2021 berbanding 12.3% pertumbuhan dicatatkan pada Disember 2020. 

 

“Ini didorong oleh permohonan lebih tinggi bagi pinjaman perumahan yang melonjak sebanyak +61.7% tahun ke tahun kepada RM25.9 bilion. Sementara permohonan pinjaman bagi kenderaan pula berkembang +8.1% tahun ke tahun kepada RM6.6 bilion,” tambah MIDF. 

 

Namun, firma penyelidik itu percaya bank mengambil langkah untuk terus berhati-hati apabila pinjaman yang diluluskan menyusut sebanyak -3.5% tahun ke tahun disebabkan oleh penguncupan dalam kelulusan pinjaman modal kerja (jatuh -26.8% kepada RM5.2 bilion).

 

Bagaimanapun, kelulusan pinjaman berkaitan segmen runcit menyaksikan peningkatan, jelas MIDF.

 

“Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana segmen perniagaan dijangka berdepan  kelemahan jangka masa pendek berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0,” ujar MIDF lagi. 

 

Firma penyelidik itu berkata, pinjaman perniagaan berkembang pada kadar yang lebih baik dengan lonjakan +2.1% kepada RM799.5 bilion berbanding Januari 2020. 

 

Pinjaman pembinaan juga menawarkan sokongan dengan peningkatan +3.3% kepada RM61.6 bilion. 

 

“Kami fikir ini merupakan permulaan yang baik memandangkan terdapat sentimen berhati-hati yang kian meningkat dalam perniagaan apabila PKP 2.0 dikuatkuasakan pada Januari 2021. 

 

“Bagi 2021, kami menjangkakan pinjaman perniagaan akan tumbuh pada kadar yang lebih cepat daripada tahun lalu dan akan menjadi pendorong kepada pertumbuhan pinjaman secara keseluruhan. Ini dipacu oleh pemulihan ekonomi,” jelas MIDF lanjut. - DagangNews.com