PKP 1.0 : Tidak perlu terlalu lama - Firma | DagangNews Skip to main content

PKP 1.0 : Tidak perlu terlalu lama - Firma

 

 

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan tidak perlu melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyeluruh dalam tempoh yang panjang bagi mengelakkan golongan mudah terjejas terus tertekan. 

 

Ini membabitkan golongan B40, M40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PK), menurut penganalisis PublicInvest Research, Dr. Rosnani Rasul. 

 

Beliau berkata, sekiranya kerajaan melaksanakan PKP menyeluruh selama 8 minggu, ia dijangka menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 2.9% tanpa sebarang bantuan fiskal disalurkan kepada rakyat.

 

Bagi tempoh 2 minggu, PKP menyeluruh akan mengikis 0.8% daripada KDNK manakala 4 minggu pula mengurangkan 1.4% pertumbuhan ekonomi. 

 

"Untuk 6 minggu penutupan pula, akan menyaksikan pertumbuhan menguncup sehingga 2.2%," jelasnya.

 

Bagaimanapun, anggaran yang dibuat itu mengambil kira penggunaan 50% output dengan sektor utama dibenarkan beroperasi seperti biasa dan kerajaan tidak memberikan sebarang bantuan fiskal baharu.

 

"Kesannya akan berkurangan, jika 5 sektor penting dibenarkan beroperasi iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian, pembinaan dan perdagangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19," katanya. 

 

Melihat kepada ruang fiskal yang semakin terhad, beliau berhati-hati terhadap keupayaan kerajaan menyediakan bantuan fiskal secara langsung yang kemudiannya menyaksikan organisasi/dana berkanun atau institusi kewangan menanggung beban ini. 

 

Rosnani turut menegaskan, kurangnya pengawalan bagi mengekang wabak ini di Lembah Klang akan memperlahankan pemulihan ekonomi dalam tempoh sederhana sekali gus memberi tekanan fiskal kepada kerajaan yang ketika ini semakin meningkat. 

 

Ini kerana, katanya, Lembah Klang merupakan penggerak ekonomi dan menyumbang kira-kira 40% kepada KDNK di negara ini.

 

"Secara dasarnya, adalah sukar untuk melaksanakan perintah sekatan yang lebih ketat di kawasan ini berdasarkan kepada kepadatan dan jumlah penduduknya," katanya. 

 

Lembah Klang merangkumi 43% daripada populasi di negara ini. 

 

Kuala Lumpur merupakan kawasan paling padat penduduknya di Malaysia dengan 6,891 orang bagi setiap kilometer persegi diikuti Putrajaya di tempat ketiga (1,478 orang bagi kilometer persegi) dan Selangor pula berada di tempat kelima iaitu 674 orang bagi kilometer persegi.

 

"Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan risiko penularan," katanya. 

 

Lebih membimbangkan, tambah beliau, Malaysia kini berdepan varian baharu dari Afrika Selatan, United Kingdon, India dan Nigeria yang memerlukan tindakan segera bagi meratakan keluk jangkitan, terutama di Lembah Klang.

 

Cadangan untuk mengembalikan semula PKP penuh mula timbul ekoran kes jangkitan harian mencecah lebih 6,000 mulai minggu ini.

 

Hari ini, kes jangkitan baharu susut kepada 6,493 setelah mencecah paras tertinggi semalam sebanyak 6,806 kes menjadikan keseluruhan kes ketika ini berjumlah RM498,795.

 

Di Selangor sahaja, ia melaporkan jangkitan baharu sebanyak 2,163 kes. - DagangNews.com