PKP 2.0 kurang impak kepada ekonomi - AmBank Research | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 kurang impak kepada ekonomi - AmBank Research

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Penguatkuasaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat tidak memberi kesan ketara kepada ekonomi berbanding kali pertama ia dilaksanakan, Mac lalu. 

 

Menurut AmBank Research, PKP 2.0 dilihat tidak terlalu ketat sebaliknya membolehkan sektor ekonomi utama beroperasi dalam usaha kerajaan menyokong aktiviti utama dan pada masa sama mengawal wabak COVID-19. 

 

"Di samping itu, potensi untuk melonggarkan sektor ekonomi yang beroperasi ketika PKP juga masih dikekalkan. 

 

"Malah, terdapat beberapa perniagaan mikro yang mematuhi SOP turut dibenarkan beroperasi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari yang mana pergerakan antara daerah adalah dilarang.

 

PKP Bersyarat (PKPB) pula akan dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bagi tempoh yang sama manakala Perlis dan Sarawak akan menjalani PKP Pemulihan (PKPP).

 

Kelantan dan Bahagian Sibu di Sarawak, pada Jumaat lalu dikenakan PKP sehingga 26 Januari. 

 

AmBank berkata, dengan merujuk PKP lalu, SOP yang dilaksanakan adalah lebih jelas termasuk dari segi logistik dan infrastruktur bekerja dari rumah dan ia kurang gangguan kepada perniagaan. 

 

"Dalam masa sama, orang ramai juga lebih bersedia dan mempunyai kesedaran yang tinggi," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, sekiranya pandemik itu berakhir dalam tempoh 6 hingga 12 bulan, ekonomi domstik secara keseluruhan akan kembali meningkat. 

 

Bagaimanapun, katanya, adalah penting untuk mengenal pasti wujudnya beberapa kekangan daripada langkah sekatan ini kemungkinan dilaksanakan pada separuh pertama 2021. 

 

Ia menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkurangan antara 0.6 hingga 1.3% menjadikan pertumbuhan 2021 sekitar 5.2 hingga 5.9% berbanding unjuran kerajaan, 6.5%. 

 

"Pertumbuhan ini adalah berdasarkan kepada anggaran kapasiti ekonomi bagi tempoh ini beroperasi sekitar 50 hingga 60% pada suku pertama 2021. 

 

"Kemudiannya, meningkat kepada 70 hingga 80% pada suku berikutnya dengan langkah sekatan dilonggarkan berperingkat, dan ekonomi kembali normal pada separuh kedua tahun ini," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu berpendapat, pertumbuhan akan terus meningkat bergantung kepada faktor luaran dan domestik. 

 

"Kita mengharapkan pakej rangsangan RM325 bilion dijangka dilaksanakan dengan cepat dan efisien beserta beberapa petunjuk positif terutama prestasi perdagangan global," tegasnya. 

 

Menurutnya, perdagangan global akan menyokong pertumbuhan eksport yang stabil dan mengukuhkan harga komoditi tahun ini. 

 

Buat masa ini harga minyak mentah Brent berlegar-legar antara AS$50 dan AS$53 setong (berbanding sebelum ini, AS$42 hingga AS$45 setong).

 

Harga minyak mentah pula dijangka diniagakan antara RM3,000 hingga RM3,200 satu tan metrik (berbanding RM2,500 hingga RM2,600 satu tan metrik). - DagangNews.com