PKP lonjakkan jualan makanan sejuk beku Kawan Food | DagangNews Skip to main content

PKP lonjakkan jualan makanan sejuk beku Kawan Food

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Ketika industri lain terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun Kawan Food Berhad berjaya menyaksikan lonjakan jualan lebih tinggi dalam sektor makanan sejuk bekunya. 

Peningkatan itu didorong kesedaran jenama yang lebih tinggi, peningkatan penggunaan makanan di rumah dan perluasan portfolio produk untuk memenuhi jumlah pengguna lebih besar.

“Pada separuh tahun pertama 2020 (1H20), jualan domestik meningkat 37.8% berbanding tahun lalu didorong jualan runcit lebih tinggi (berikutan aktiviti simpanan makanan kerana COVID-19) yang mengimbangi kekurangan permintaan daripada segmen hotel, restoran dan katering.

“Walaupun kami berpendapat jualan runcit kembali normal bermula suku ketiga 2020 (3Q20), namun permintaan akan mengukuh berbanding sebelum COVID-19,” jelas analisis CGS-CIMB Research. 

Syarikat makanan dan minuman itu menyaksikan peningkatan jualan dalam talian yang luar biasa sejak pelaksanaan PKP di Malaysia bermula 18 Mac lalu. 

Bagaimanapun, kadar jualan itu berada di tahap rendah yang mewakili kurang daripada 2% daripada hasil Kawan Food pada 1H20. 

Tambah CGS-CIMB, Kawan Food turut memperoleh dua pengedar luar negara yang berskala besar pada 1H20 dan sedang meraih pelanggan baharu. 

“Langkah perintah berkurung lanjut di pasaran luar negara ketika kes COVID-19 meningkat tinggi akan meneruskan permintaan produk makanan Kawan Food.

Ini seiring dengan peningkatan kesedaran jenama untuk produk dan usaha Kawan Food untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan baharu di luar negara,” kata CGS-CIMB. - DagangNews.com