PM Belanda mahu keadilan terhadap mangsa MH17 | DagangNews Skip to main content

PM Belanda mahu keadilan terhadap mangsa MH17

Pasukan penyiasatan antarabangsa MH17 merumuskan pada 2019 bahawa pelancar misil digunakan untuk menembak pesawat penumpang, dari pangkalan tentera Rusia berdekatan sempadan Ukraine.

KYIV 3 Feb – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menggesa diadakan sidang dialog bagi mengendurkan krisis dengan Rusia semasa lawatan ke ibu negara Ukraine, di mana beliau menegaskan sekali lagi azamnya bagi memastikan keadilan untuk keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di negara itu pada 2014.

 

Rutte merupakan pemimpin Eropah terbaharu, mengikuti langkah perdana menteri Britain dan Poland melawat Kyiv sebagai tanda solidariti berikutan Rusia mengerahkan ribuan tenteranya di sempadan negara itu yang membimbangkan negara-negara Barat.

 

Krisis di Ukraine itu dipantau teliti oleh Belanda, yang mana pendakwa raya negara itu menuntut pendakwaan terhadap empat lelaki yang dituduh membunuh dengan menembak jatuh pesawat MH17.

 

Pendakwa raya menyatakan bahawa defendan, yang kesemuanya masih bebas, membantu membekalkan sistem misil yang diguna oleh puak pemisah disokong Rusia menentang tentera Kyiv, dan diguna menembak roket terhadap pesawat itu.

 

Kesemua 298 orang penumpang, kebanyakannya warga Belanda terbunuh.

 

"Keutamaan Belanda adalah membuktikan kebenaran terhadap kejadian sebenar, meraih keadilan dan memastikan mereka yang bertanggungjawab dikenakan hukuman,’’ kata Rutte semasa sidang akhbar bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy.

 

"Ia bukan suatu proses mudah tetapi berputus asa bukan suatu pilihan kepada kami berdua," ujar beliau, lapor REUTERS.

 

 

ukraine
Mark Rutte dan Volodymyr Zelenskiy semasa sidang media bersama di Kyiv, Ukraine. - REUTERS

 

 

Kerajaan Belanda juga menyalahkan Rusia sebagai bertanggungjawab di dalam kes tersebut. Moscow yang menyokong puak pemisah di dalam peperangan menentang tentera kerajaan Ukraine, menafikan sebarang pembabitan.

 

Dalam kes MH17, keputusan dijangka dicapai di dalam perbicaraan pembunuhan terhadap tiga warga Rusia dan seorang Ukraine tahun ini.

 

 

mh17
Video siasatan memberi gambaran bagaimana pesawat MH17 ditembak oleh puak pemisah Ukraine disokong Rusia

 

 

Pasukan penyiasat antarabangsa diketuai Belanda telah merumuskan pada 2019 bahawa pelancar misil digunakan untuk menembak pesawat penumpang, dari pangkalan tentera Rusia berdekatan sempadan Ukraine. – DagangNews.com