PM Ismail Sabri kotakan iltizam berucap dalam Bahasa Melayu pada Persidangan Nikkei | DagangNews Skip to main content

PM Ismail Sabri kotakan iltizam berucap dalam Bahasa Melayu pada Persidangan Nikkei

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Gambar PMO
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengotakan iltizamnya untuk memartabatkan Bahasa Melayu apabila menyampaikan ucaptama sepenuhnya dalam Bahasa Melayu pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia di Tokyo hari ini.

 

Pada persidangan yang juga dikenali sebagai Persidangan Nikkei itu, Ismail Sabri turut mengusulkan tiga perkara utama untuk membolehkan Asia memainkan peranan dalam menerajui dunia yang berbelah pendirian.

 

Ismail Sabri berkata, perkara itu adalah Memperkasakan Integrasi Ekonomi Serantau, Mengukuhkan Kerjasama dan Mekanisme Perundingan serta Bermuafakat dalam Menangani Cabaran Perubahan Iklim.

 

"Ini adalah antara perkara yang boleh diberikan perhatian dalam menawarkan penyelesaian isu sejagat dan pada masa yang sama meningkatkan kerjasama pelbagai hala dalam kalangan negara di Asia," katanya dalam penampilan sulungnya pada persidangan tahunan dengan tema “Mentakrif Semula Peranan Asia dalam Dunia Yang Berbelah Pendirian” hari ini.

 

Pada 22 Mei 2022, Perdana Menteri telah mengumumkan semua pusat yang melibatkan ke luar negara termasuk surat menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu.

 

"Saya ingin berkongsi yang arahan telah dikeluarkan bahawa semua pusat yang melibatkan ke luar negara termasuk surat menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu. Surat yang saya hantar kepada pemimpin-pemimpin dunia juga dalam Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris," katanya.

 

Beliau berkata, beliau juga menggunakan Bahasa Melayu sewaktu Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) bersama dengan Presiden AS, Joe Biden.

 

 

pm

 

 

Ismail Sabri kini dalam lawatan kerja rasmi selama enam hari di Jepun. Ia merupakan lawatan pertama beliau ke Jepun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 21 Ogos 2021.

 

Ia merupakan lawatan paling berprofil tinggi ke negara matahari terbit itu selepas lebih dua tahun, susulan sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19.

 

Beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Fumio Kishida.

 

Malaysia dan Jepun akan menandatangani memorandum kerjasama dalam tiga bidang membabitkan industri pesawat udara, pekerja mahir, serta belia dan sukan semasa lawatan itu.

 

Ismail Sabri juga dijadualkan bertemu dengan pemimpin korporat dan ahli perniagaan terkemuka dari beberapa syarikat terkemuka di Jepun bagi menarik kehadiran lebih banyak pelaburan asing. - DagangNews.com