PM tekankan pentingnya guna pendekatan Whole-of-Nation percepat pendigitalan | DagangNews Skip to main content

PM tekankan pentingnya guna pendekatan Whole-of-Nation percepat pendigitalan

Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Mohd. Yasin

 


PUTRAJAYA 22 Julai – Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Mohd. Yasin menekankan kepentingan menggunakan pendekatan keseluruhan negara bagi mempercepatkan agenda pendigitalan dan penerokaan teknologi sebagaimana yang terkandung dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara

 

“Pendekatan ini memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, industri dan rakyat untuk bergerak secara serentak dan saling melengkapi untuk mencapai kemakmuran bersama.

 

“Ketangkasan transformasi digital secara menyeluruh serta penciptaan dan penerimagunaan teknologi boleh menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” kata beliau semasa mempengerusikan mesyuarat ketiga Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, menerusi sidang video di sini hari ini.

 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, mesyuarat tersebuti telah membuat keputusan berikut:-

  1. Bank Negara Malaysia di bawah Kluster Masyarakat MyDIGITAL akan menerajui usaha mempromosi penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga bagi merancakkan transaksi digital yang mudah dan selamat. Pada tahun 2020, transaksi e-pembayaran per kapita adalah 170 dan dijangka meningkat kepada 400 menjelang tahun 2022.

    Ini berikutan langkah-langkah bagi meningkatkan kesedaran dan kemudahan infrastruktur yang dilaksanakan secara berterusan. Kempen Hari Tanpa Tunai akan diadakan manakala sistem bayaran dengan aplikasi di terminal stesen minyak akan diperluas. Inisiatif ini sejajar dengan hasrat mewujudkan transaksi tanpa tunai untuk semua perkhidmatan kerajaan menjelang 2022.

 

  1. Kumpulan Kerja Peraturan dan Undang-Undang MyDIGITAL telah mencadangkan penggubalan undang-undang baharu dan meminda beberapa peraturan sedia ada. Ini bagi mewujudkan suasana kondusif dalam membantu perkembangan pendigitalan. Ia termasuklah tatacara perkongsian data awam untuk menyokong operasi pelbagai aplikasi digital dan membantu kerajaan membuat keputusan tepat berdasarkan analitik data.

    Cadangan ini telah dipersetujui secara prinsip dan kajian implikasi akan dilaksana oleh Kluster Kerajaan yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara. Antara inisiatif lain yang diberi perhatian adalah memperkenalkan Identiti Digital Nasional dan Tandatangan Digital.

 

Mustapa berkata, mesyuarat juga mengambil maklum penyelarasan semua strategi dan inisiatif yang dilakukan oleh Strategic Change Management Office (SCMO) di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mengharmonikan pelaksanaan tiga pelan tindakan berkaitan pembangunan digital negara iaitu, Rangka Kerja (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Rancangan Malaysia Ke-12. – DagangNews.com