PMI susut, pertumbuhan ekonomi negara masih utuh | DagangNews Skip to main content

PMI susut, pertumbuhan ekonomi negara masih utuh

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Pertumbuhan ekonomi negara masih kekal meyakinkan di sebalik indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan yang lemah pada Februari. 

 

Antara faktor yang mendorong keyakinan ini termasuklah pelaksanaan vaksin COVID-19, peningkatan dagangan global dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Selain itu, ia juga disokong oleh langkah-langkah bagi merangsang ekonomi dan keyakinan yang bertambah baik secara tidak langsung meningkatkan aktiviti pembuatan. 

 

Kesemua faktor ini meletakkan unjuran pertumbuhan ekonomi domestik akan berkembang antara 5.2 hingga 5.9%, menurut Ambank Research dalam nota kajian hari ini.  

 

"Bagaimanapun, penurunan PMI Malaysia adalah sejajar dengan negara rantau ASEAN yang lain. 

 

"Thailand, contohnya, menyaksikan PMI pada Februari berada di bawah paras nilai ambang 50 mata, menandakan penguncupan kali kedua sejak September 2020," katanya. 

 

Pada Februari, PMI Thailand jatuh kepada 47.2 berbanding 49 pada bulan sebelumnya. 

 

PMI pembuatan Malaysia pada Februari terus mencatat penurunan kepada 47.7 berbanding 48.9 pada Januari. 

 

Ia merupakan paras terendah sejak Mei 2020 dan penguncupan bulan ketujuh berturut-turut bagi sektor pembuatan.

 

Menurut IHS Markit, perniagaan akan terus mengurangkan pengeluaran manakala pesanan pula semakin rendah. 

 

Keadaan ini disebabkan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 di peringkat domestik dan antarabangsa sekali gus menyebabkan permintaan produk buatan Malaysia berkurangan. 

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, kajian juga menunjukkan kadar pengangguran menurun sederhana pada bulan tersebut, mencerminkan keadaan yang stabil untuk sektor berkenaan.

 

Di sebalik trend penurunan ini, katanya, syarikat pembuatan di Malaysia optimis terhadap prospek 12 bulan memandangkan sentimen semakin mengukuh kepada 5 bulan tertinggi. 

 

"Ini berdasarkan kepada penurunan kes jangkitan COVID-19 di beberapa negara utama termasuk Malaysia dan juga pengedaran vaksin di seluruh dunia dilihat mampu menstabilkan operasi dan meningkatkan pengeluaran pada masa akan datang," jelasnya. - DagangNews.com