PPN: Kebanyakan negeri dijangka beralih ke Fasa 4 seawal Oktober - PM | DagangNews Skip to main content

PPN: Kebanyakan negeri dijangka beralih ke Fasa 4 seawal Oktober - PM

Muhyiddin Yassin

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Kebanyakan negeri di Malaysia dijangka akan bergerak dan beralih ke fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih awal iaitu pada Oktober nanti.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jangkaan itu mampu dicapai dengan usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang sedang berjalan lancar.

 

Menurutnya, kerajaan akan tetap melaksanakan penilaian risiko termasuk menilai kesediaan mana-mana negeri untuk beralih ke Fasa Kedua, Ketiga atau Keempat.

 

"Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama.

 

"Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga tidak akan patah balik ke fasa kedua. Ini kerana, pendekatan PPN menekankan 'exit strategy and no turning back'

 

"Walau bagaimanapun, manusia merancang, tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya," katanya ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

 

Dalam pengumuman awal PPN pada 15 Jun baru-baru ini,  peralihan kepada fasa keempat akan berlaku pada bulan November dan Disember 2021.

 

Dalam fasa berkenaan, kerajaan akan membuat pembukaan penuh sektor ekonomi termasuk sektor sosial.

 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sekiranya berlaku peningkatan semula kes di negeri-negeri yang beralih ke fasa seterusnya, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah seperti mana yang dilaksanakan kini. - DagangNews.com