PPV Stadium Nasional Bukit Jalil mulakan vaksinasi hari ini | DagangNews Skip to main content

PPV Stadium Nasional Bukit Jalil mulakan vaksinasi hari ini

PPV Stadium Nasional Bukit Jalil. Gambar KKM

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil akan bermula hari ini.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, PPV berkenaan menyediakan kapasiti vaksinasi sebanyak 10,000 orang sehari.

 

Menumpukan golongan di bawah umur 40 tahun di Lembah Klang, PPV berkenaan didirikan di padang atau trek balapan stadium berkenaan.

 

 

vaksin
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Ayza-Adani Jaffry merupakan antara penerima suntikan vaksin di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

 

 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu hantaran di laman Facebooknya baru-baru ini berkata, seluruh trek balapan stadium berkenaan telah bertukar wajah menjadi ruang untuk urusan vaksinasi selaras dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri.

 

"Ini sebahagian usaha KBS (Kementerian Belia dan Sukan) menjayakan inisiatif yang diterajui oleh Khairy Jamaluddin dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui penggunaan fasiliti secara optimum.

 

"Insya-Allah, dengan ikhtiar ini kita akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat dengan lebih cepat lagi," katanya.

 

 

Berikut adalah maklumat dan persediaan yang dikongsikan KKM;

.

 

 

Dalam usaha menjayakan program vaksinasi di stadium berkenaan, beliau memberitahu, seramai 60 orang sukarelawan MYVAC di bawah kelolaan KBS akan ditempatkan untuk memberi perkhidmatan.

 

Bagaimanapun, jumlah berkenaan akan ditambah mengikut keperluan.

 

"Saya ambil kesempatan ini menyeru kepada rakan-rakan netizen agar segera mendaftar dan sentiasa menyemak aplikasi MySejahtera anda," ujarnya lagi. - DagangNews.com