Skip to main content

The Prayer Mat Sdn. Bhd. sasar bawa “Raudhah” ke seluruh dunia

Pengasas dan Pengarah Urusan The Prayer Mat, Dr. Siti Norwahida Shukeri

 

 

Oleh SUHANA ABDUL MUTALIB
editor@dagangnews.com

 

 

ALOR STAR 20 Julai – The Prayer Mat Sdn. Bhd., pembekal eksklusif sejadah Madinah di Malaysia menyasarkan jualan bernilai RM10 juta menjelang penghujung tahun ini, dengan tumpuan utama mengukuhkan pasaran tempatan melalui penglibatan lebih ramai syarikat pemborong menjelang Disember 2021.

 

Syarikat yang ditubuhkan pada November 2020 itu sehingga kini telah berjaya mencatatkan jualan 32,000 helai sejadah dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat menjelang September ini melalui kemasukan sekitar 80,000 helai stok sejadah baharu.

 

Pengarah Urusannya, Dr. Siti Norwahida Shukeri berkata, sehingga Jun 2021, pihaknya telah membuat pembelian stok sejadah bernilai RM4.8 juta khusus untuk memenuhi permintaan pemborong dan peruncit di Malaysia.

 

Dr. Siti Norwahida tidak menyangka penghijrahannya ke Arab Saudi pada 2019 lalu untuk berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah institusi pendidikan di negara tersebut membuka satu dimensi perniagaan baharu melalui penawaran pelbagai koleksi sejadah eksklusif dari bumi Madinah.

 

“Lebih tepat lagi, peluang ini muncul selepas kerajaan Arab Saudi menghentikan kemasukan pelancong luar ke Makkah dan Madinah bagi aktiviti umrah, ziarah dan Haji. Justeru, bagi mengubati kerinduan sahabat-sahabat di Malaysia, saya mula mengambil pratempahan sejadah dan minyak wangi “Raudhah”.

 

“Kedua-dua produk ini amat sinonim dengan dua ikon utama Madinah iaitu Makam Rasulullah dan sudut “Raudhah” yang dikatakan sebagai antara tempat doa dimakbulkan mula menerima permintaan yang luar biasa hanya dalam tempoh singkat,” jelasnya dalam temubual eksklusif dengan DagangNews.com.

 

The Prayer Mat sehingga kini memasarkan lebih 180 rekaan dan corak sejadah eksklusif pada harga antara RM45 hingga RM209. Selain sejadah, syarikat yang berpengkalan di Changlun, Kedah ini juga turut memasarkan pelbagai koleksi minyak wangi dan buah kurma.

 

Siti Norwahida berkata, bermula dengan hanya 1,000 tempahan, jumlah tersebut terus meningkat berkali ganda menyebabkannya terpaksa mencari stok sejadah di seluruh pelosok Madinah bagi memenuhi permintaan dari Malaysia.

 

Jelasnya, ia seterusnya membuka ruang dan peluang yang lebih serius buatnya apabila syarikat pengeluar sejadah tersebut, MADA Carpet Company yang beroperasi di Yanbu, Madinah memberikan kepercayaan buatnya menjadi pengedar eksklusif sejadah tersebut di Malaysia.

 

carpet
Dr. Siti Norwahida berbincang dengan MADA Carpet Company bagi melancarkan urusan penghantaran stok sejadah ke Malaysia.

 

“Bukan sesuatu yang mudah terutama bagi seorang wanita mendapat kepercayaan sebuah syarikat besar seperti MADA Carpet ini, namun saya melihat ini sebagai peluang mengukuhkan lagi perniagaan saya.

 

“Apabila berada di fasa ini, saya merasakan ia bukan lagi perniagaan untuk mengisi masa terluang, sebaliknya saya perlu lebih serius merencanakan hala tuju perniagaan ini dan meletakkan The Prayer Mat sebagai syarikat tempatan yang bertaraf global,” jelasnya yang telah memiliki 16 orang pekerja tetap untuk mengendalikan urusan syarikat di Malaysia.

 

Dr. Siti Norwahida berkata, syarikatnya kini telah memiliki lebih 300 peruncit dan pemborong aktif di seluruh negara dengan menjadikan sistem peruncitan gula oleh Tan Sri Robert Kuok sebagai model perniagaannya yang dilihat mampu untuk mencapai pasaran yang lebih meluas.

 

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Dr. Siti Norwahida berkata, syarikatnya berazam untuk mengukuhkan pasaran tempatan sebelum mula merangka strategi menembusi pasaran antarabangsa menjelang awal tahun 2022.

 

Menurut Siti Norwahida, ia bukanlah sesuatu yang sukar memandangkan “Raudhah” itu sendiri merupakan jenama yang cukup kuat dan sinonim dengan semua umat Islam di seluruh dunia, justeru adalah menjadi impian syarikatnya untuk membawa “Raudhah” ke pasaran global.

 

Jelasnya, buat permulaan The Prayer Mat berazam untuk menembusi pasaran Maldives, Bosnia, Australia dan Jerman selain pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

 

“Untuk jangka masa panjang, saya juga berazam untuk memasarkan produk syarikat terutamanya sejadah di pasaran Amerika Syarikat dan United Kingdom memandangkan jumlah penduduk dan kuasa membeli masyarakat Islam di negara tersebut yang tinggi,” jelasnya lagi. – DagangNews.com