KUALA LUMPUR 19 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Press Metal Aluminium Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM7.59 berbanding RM7.71.
Firma itu juga menjangkakan keputusan kewangan bagi suku pertama 2022 akan mencatatkan keuntungan antara RM420 juta hingga RM470 juta.
Katanya, seandainya sasaran itu mencapai jangkaan, firma itu yakin bahawa kumpulan itu berada di landasan tepat untuk mencatatkan keuntungan berganda bagi FY22.
"Jangkaan itu dibuat berdasarkan peningkatan harga aluminium, pentauliahan penuh Fasa 3 Samalaju dan sumbangan 25% pemilikan kilang penapisan PT Bintan Alumina," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, penurunan kes COVID-19 di China dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) serta pembukaan semula sektor utama ekonomi di negara itu akan melonjakkan harga pasaran aluminium akibat peningkatan kadar penggunaannya.
"Kedudukan semasa memberi potensi besar kepada pelabur untuk melabur kerana harga saham kumpulan itu berkaitan dengan harga aluminium
"Selepas membuat penilaian termasuk mencairkan asas saham kumpulan selepas penempatan persendirian dan mengemas kini audit daripada laporan tahunan FY21, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan TP sedikit rendah iaitu RM7.59," katanya.
Firma itu berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan struktur kos yang positif kerana sebahagian besar kos tenaganya terikat melalui perjanjian pembelian tenaga (PPA) 15 hingga 25 tahun dengan Sarawak Energy Berhad.
"Ia juga didorong oleh penggunaan pusat peleburan rendah karbon yang menggunakan tenaga hidro bagi meningkatkan profil amalan alam sitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya. - DagangNews.com