Prestasi cemerlang Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi diiktiraf dunia | DagangNews Skip to main content

Prestasi cemerlang Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi diiktiraf dunia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) antara hanya tujuh lapangan terbang di seluruh dunia yang diiktiraf Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) atas prestasi cemerlang yang konsisten dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan kepada pelanggan. 

Sehubungan itu, LTAL akan menyertai Pergerakan Kecemerlangan (Roll of Excellence) Ketua Pengarah ACI dalam menyediakan pengiktirafan tambahan kepada lapangan terbang lain yang dilihat menyampaikan perkhidmatan terbaik oleh penumpang.

Maklum balas penumpang akan diterima menerusi tinjauan kualiti perkhidmatan lapangan terbang (ASQ) setiap suku tahunan oleh ACI sebagai penanda aras untuk lapangan terbang di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pengiktirafan yang ditonjolkan oleh penumpang itu akan memberi motivasi lanjut kepada komuniti lapangan terbang dan rakan kongsi untuk terus melakukan yang terbaik. 

 

Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh

 

“Kami berbesar hati untuk menerima pengiktirafan daripada ACI, saluran suara industri penerbangan dunia. 

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas sokongan berterusan dan berada di barisan hadapan. 

“Kami menantikan keyakinan semula dalam kalangan masyarakat terhadap perjalanan udara memandangkan kami akan terus melaksanakan langkah keselamatan dan pengalaman penumpang terbaik di lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

LTAL telah dilantik untuk menyertai Pergerakan Kecemerlangan Ketua Pengarah ACI berdasarkan rekod kemenangan pelbagai anugerah ASQ lebih lima tahun sepanjang tempoh 10 tahun. 

Lapangan terbang itu secara konsisten menunjukkan skor perkhidmatan pelanggan tinggi dan memenangi anugerah ACI seperti Lapangan Terbang Kecil Terbaik Mengikut Wilayah dan Lapangan Terbang Terbaik Mengikut Ukuran (dua hingga lima juta penumpang setiap tahun).

"Penghargaan ini juga merupakan bukti komitmen dan usaha kami untuk terus meningkat aras standard perkhidmatan serta kualiti,” tambah Mohd. Shukrie.

Sebagai salah satu pintu masuk destinasi popular negara, LTAL ditambah baik dan dikembangkan pada 2018 untuk memenuhi keperluan 4 juta penumpang setiap tahun.

LTAL mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sehingga 2.9 juta setiap tahun pada 2019, meningkat 8% berbanding 2018.

Dalam pada itu, ACI bakal mengumumkan dan menyambut pencapaian LTAL semasa Minggu ‘ASQ Customer Experience’ pada 26 Oktober 2020. - DagangNews.com