Prestasi DRB-Hicom separuh pertama mengecewakan, Kenanga Research 'potong' 52% unjuran untung bersih FY22 | DagangNews Skip to main content

Prestasi DRB-Hicom separuh pertama mengecewakan, Kenanga Research 'potong' 52% unjuran untung bersih FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kenanga Research menurunkan penarafan DRB-Hicom Bhd. kepada 'market perform' berbanding 'outperform' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.55 daripada RM1.80 sesaham berikutan laporan kewangan separuh pertama yang mengecewakan. 

 

Menurut firma itu, prestasi kumpulan bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 itu menyaksikan margin yang lemah, sekali gus mengatasi pertumbuhan jualan yang dicatatkannya. 

 

Ia menjangkakan jualan bagi segmen automotifnya akan kembali perlahan selepas menyelesaikan tempahan tertunggak bagi memenuhi tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berakhir 30 Jun lalu.

 

"Ini disebabkan tiada model baharu dilancarkan di bawah segmen automotifnya, tidak seperti pesaingnya yang lain. 

 

"Pada masa sama, segmen pertahanan juga tidak membantu prospek kumpulan, apabila kehilangan kontrak baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

DRB-Hicom mencatat untung bersih RM169.56 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding kerugian bersih RM217.5 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya yang menyaksikan pendapatan juga meningkat kepada RM3.55 bilion daripada RM2.6 bilion.

 


Baca : Jualan Proton melonjak, DRB-Hicom kembali catat untung RM169.56 juta pada suku kedua

 

Prestasi suku kedua itu didorong jualan yang lebih tinggi daripada pengeluar kereta nasional, Proton dan operasi dalam pembuatan & kejuruteraan serta pengedaran automotif kumpulan.

 

Ini menyaksikan kumpulan mencatat untung bersih bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM143.82 juta daripada kerugian bersih RM234.46 juta.

 

Dalam tempoh tersebut, perolehan kumpulan mencecah RM6.62 bilion daripada RM6.13 bilion bagi tempoh sama tahun lalu dengan sektor automotif menyumbang dua pertiga daripada jumlah tersebut. 

 

Menurut Kenanga Research, prestasi separuh pertama DRB-Hicom adalah di bawah jangkaannya dengan untung bersih teras sebanyak RM24 juta hanya merangkumi 12% dan 14% unjurannya dan konsensus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Susulan itu, ia mengurangkan unjuran keuntungan bersih kumpulan bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 52% dan 39% memandangkan margin untuk kesemua segmen perniagaannya berdepan persekitaran inflasi yang tinggi. 

 

"Kami mengurangkan jangkaan terhadap pertumbuhan jualan bagi Proton dan Honda sebanyak 10% bagi FY23 ekoran persaingan yang sengit dan jualan mendatar bagi segmen pertahanan untuk FY22 dan FY23 kerana ketiadaan kontrak baharu," jelasnya.

 

Setakat 10.18 pagi, harga saham DRB-Hicom susut 4 sen atau 2.65% kepada RM1.47 dengan 974,800 saham diniagakan. - DagangNews.com