Prestasi kewangan 2021 UMW Holdings terkesan akibat penutupan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan 2021 UMW Holdings terkesan akibat penutupan ekonomi

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30Nov - Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) mengurangkan ramalan untung bersih teras (CNP) tahun kewangan 2021 (TK21) UMW Holdings Bhd sebanyak 56% disebabkan kesan penutupan yang lebih buruk daripada jangkaan terhadap perniagaan terasnya. 

 

Dalam nota penyelidikannya Kenanga bagaimanapun mengekalkan unjuran CNP tahun kewangan 2022 (TK22) yang dibuat sebelum ini berikutan pemulihan dalam back-log tempahan yang mencapai melebihi 100,000 unit daripada Toyota dan Perodua. 

 

"Kami mengekalkan panggilan 'Market Perform' dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM3.20 sesaham bagi UMW," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, UMW memperoleh pendapatannya kebanyakannya daripada aliran model baharu seperti Vios dan Yaris yang dipertingkatkan, Toyota RAV4 CBU, Lexus UX200, Toyota Hilux Rogue, Innova dan Fortuner, Toyota Corolla Cross serta Harrier juga Perodua miliknya 38% dengan pelancaran serba baharu Perodua Ativa, ARUZ yang diperbaharui, dan Myvi baharu yang dilancarkan baru-baru ini.

 

"Untuk bahagian Peralatan, kumpulan itu akan terus memanfaatkan kekuatan rakan kongsinya (KOMATSU & TICO) dan usaha sama robot baharu (“Cobots”) dengan Universal Robot A/S, manakala UMW Aerospace dijangka pulih berikutan kadar vaksinasi negara yang tinggi dan pelaksanaan gelembung perjalanan.

 

"Risiko kepada panggilan kami termasuk jumlah jualan kereta yang lebih rendah daripada jangkaan, dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi," katanya. 

 

UMW mencatatkan kerugian untuk tempoh 9 bulan TK21 sebanyak RM27.6 juta berbanding keuntungan teras RM79.7 juta pada 9BTK20 terutamanya disebabkan kerugian ketara yang dicatatkan pada suku sebelumnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO).

 

Ini berlaku walaupun jualan lebih tinggi sebanyak 17% dicatatkan daripada separuh pertama TK21 yang lebih kukuh sebelumnya. 

 

Segmen automotif menunjukkan jualan yang lebih tinggi 24% dan keuntungan segmen 45% seiring dengan jualan unit Toyota & Lexus yang stabil, dan Perodua masing-masing sebanyak 46,118 unit (+24%) dan 119,093 unit (-18%). 

 

"Sebaliknya, segmen Peralatan merekodkan jualan keseluruhan yang lebih kukuh dengan pertumbuhan 16%, tetapi keuntungan segmen yang lebih rendah (-8%) terjejas oleh operasi Myanmar akibat ketidakstabilan politik.

 

Jualan segmen M&E turut turun 26% terjejas secara negatif oleh permintaan pengeluaran yang lebih rendah. -DagangNews.com