KUALA LUMPUR 22 Mac - Glomac Berhad melancarkan fasa terbaharu pembangunan kediaman mampu milik Primrose, di Saujana KLIA terdiri daripada 123 unit rumah kategori mampu milik.
Rumah mampu milik ini bermula pada harga RM498,800 untuk unit perantaraan, dan dijangka siap pada 2023.
Pembangunan ini bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama dan pembeli profesional yang muda serta pelabur yang mencari hartanah kediaman yang jauh dari kesibukan kota.
Ketua Pemasaran dan Penjualan Glomac, Kim Neoh berkata, Primrose adalah sebahagian daripada pembangunan Saujana KLIA seluas 231 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3bilion.
“Setakat ini, Glomac telah menjayakan 7 pembangunan kediaman terdiri daripada 905 unit rumah teres dua tingkat dan sebuah hab komersial terdiri daripada 72 buah kedai pejabat dengan anggaran GDV sebanyak RM560 juta.
"Glomac akan terus membina kediaman pada masa hadapan untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mula dibangunkan pada 2015, Saujana KLIA dirancang sebagai pembangunan kediaman bercampur di pinggir bandar dengan pelbagai jenis rumah atas tanah mampu milik seperti Rumah Teres Dua Tingkat berukuran 20’x70’ dan 20’x75’, Banglo, Kedai Pejabat, Pangsapuri dan Rumah Bandar sebesar 24’x60’ dan 22’x70’ (Rumah Selangorku).
Saujana KLIA terletak di lokasi strategik yang berdekatan dengan kemudahan-kemudahan seperti institusi pendidikan, pusat komersial, pusat pengangkutan awam, pusat logistik strategik, kemudahan penjagaan kesihatan dan kawasan rekreasi.
Sementara itu, Pengurus Penjualan dan Pemasaran (Perbandaran), Eliza Jamaludin menjelaskan, rumah-rumah Primrose dirancang dengan konsep keluasan yang menonjolkan kebebasan tanpa had untuk ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur.
Ia menawarkan 4 bilik tidur dan 3 bilik mandi dalam kawasan binaan antara 1,560 kaki persegi dan 2,288 kaki persegi dalam ruang 20’x60’ kps.
Sehingga kini, Glomac telah menyiapkan fasa-fasa di Saujana KLIA merangkumi Alcea, Camellia, Thistle, Heather, Azalea dan banyak lagi.
Pembangunan masa hadapan termasuk Pangsapuri Strata, Rumah Berkembar, Rumah Bandar, Pejabat Kedai dan Pusat Komersial.
“Alcea dan Camellia adalah antara pembangunan terakhir di SKLIA dimana kedua-duanya dilancarkan pada Mei 2016 dan telah berjaya terjual dalam beberapa minggu selepas pelancaran," katanya. - DagangNews.com