Produktiviti buruh meningkat 2.7% pada suku pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

Produktiviti buruh meningkat 2.7% pada suku pertama 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 19 Mei - Produktiviti buruh Malaysia yang digambarkan sebagai nilai ditambah per pekerja meningkat 2.7% berbanding 1.7% pada suku keempat 2021 (Q42021) dengan merekodkan RM23,129 pada suku pertama 2022 (Q1), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia suku tersebut berkembang 5% selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6% pada Q42021.

 

Beliau berkata, pekerja yang merekodkan 15.6 juta orang meningkat 2.2% berbanding 1.8% pada Q42021.

 

"Ini berikutan dengan pelonggaran sekatan prosedur operasi standard yang membenarkan majlis berskala besar dan perhimpunan sosial, serta perniagaan yang beroperasi pada kapasiti penuh apabila negara telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. 

 

"Situasi ini telah menyebabkan peningkatan yang menggalakkan dalam pasaran buruh pada suku tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, beliau berkata, jumlah jam bekerja tertinggi dicatatkan pada suku ini dengan 4.6% berbanding 2.3% pada Q42021 yang merekodkan 8.9 bilion jam, berbanding 8.8 bilion jam pada Q42021 apabila waktu operasi perniagaan adalah lebih panjang pada suku ini.

 

"Oleh itu, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja tumbuh pada kadar marginal 0.3% berbanding 1.3% pada Q42021 dengan nilai RM40.3 per jam berbanding RM42.3 per jam pada Q42021," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, dari sudut sektor ekonomi, tiga sektor mencatatkan pertumbuhan positif berdasarkan produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja pada suku tersebut iaitu Perkhidmatan, Pembuatan dan Pertanian. 

 

Beliau berkata, pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh pada suku ini dicatatkan oleh sektor perkhidmatan pada 3.6% berbanding 1.1% pada Q42021 dengan semua subsektor merekodkan peningkatan kecuali kewangan dan insurans (-0.3%) serta perdagangan borong dan runcit (-0.9%). 

 

"Produktiviti buruh bagi sektor pembuatan tumbuh 2.8% berbanding 5.3% pada Q42021 dengan kadar pertumbuhan tertinggi dicatatkan oleh produk elektrik, elektronik & optikal (10.6%), diikuti produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (4.4%), minuman dan produk tembakau (4.3%).

 

"Bagi produktiviti buruh sektor pertanian, naik 1.0% berbanding 2.9% pada suku sebelumnya. Sebaliknya, sektor perlombongan, pengkuarian dan pembinaan terus mencatatkan penurunan pertumbuhan pada kadar negatif yang lebih kecil masing-masing sebanyak 3.6% dan 5.5%," katanya.

 

Katanya, dari segi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, sektor pembinaan mencatatkan kejatuhan tertinggi produktiviti buruh iaitu -8.2% berbanding -11.0% pada Q42021, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian pada -4.8%.

 

Sektor pembuatan dan pertanian merekodkan penurunan sederhana masing-masing sebanyak 0.1% dan 0.2%. Perkhidmatan merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif pada Q12022 dengan kadar 1.2% selepas mencatatkan 0.8% pada Q42021. - DagangNews.com