Program E-Board Insken bantu usahawan bangkit semula | DagangNews Skip to main content

Program E-Board Insken bantu usahawan bangkit semula

Majlis graduasi bagi para peserta yang telah menamatkan E-Board Kohort 2 anjuran Institut Keusahawanan Negara yang dijalankan secara maya hari ini. - Gambar Facebook Insken.

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - Institut Keusahawanan Negara (Insken) sekali lagi merekodkan kecemerlangan melalui Program Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) Kohort 2 dengan pencapaian 32.70% purata peningkatan jualan.

 

Kejayaan program ini dikongsi pengusaha Dr. Kayu Network, Nur Liyana Che Md Azim yang hampir berputus asa meneruskan perniagaan akibat pandemik COVID-19. 

 

"Tetapi, saya batalkan hasrat ini setelah melihat peningkatan jualan hasil daripada mengikuti program E-Board ini. 

 

"Lebih menggembirakan, jualan saya meningkat daripada hanya tiga angka, kepada lima angka atau 4,467.25% lonjakan selepas tamat program," katanya. 

 

Selain itu, usahawan yang menjual produk buatan kayu seperti jam dinding ini turut menambah tiga buah mesin baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kian meningkat selepas produknya dipasarkan melalui platform Facebook.

 

Pemilik Harfina Services, Muhammad Hariz yang merupakan usahawan dalam industri percetakan memberitahu, beliau mula menerima lebih banyak permintaan melalui WhatsApp setelah mengikuti program E-Board. 

 

"Pada penghujung Februari lalu, jualan saya meningkat 1,730.14% sekali gus menjadikan purata hasil jualan bulanan meningkat kepada ribuan ringgit," kongsinya. 

 

Mereka adalah antara 208 usahawan yang berjaya menamatkan program bimbingan selama 4 bulan yang diraikan hari ini melalui Majlis Graduasi Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) Kohort 2 bagi 2020.

 

Majlis yang diadakan secara maya itu dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin.

 

Program E-Board merupakan sebuah inisiatif untuk melatih serta membimbing usahawan menggunakan platform dalam talian dan e-dagang untuk menjual dan memasarkan produk serta perkhidmatan.

 

Ia dijalankan selama 4 bulan menggunakan kaedah ‘technical training-intensive coaching’ oleh pakar jurulatih pendigitalan menerusi platform dalam talian yang ditetapkan melalui bimbingan secara hand-holding. 

 

Terdapat 7 platform disediakan iaitu Facebook, Instagram, YouTube, WhatsApp, Telegram dan bagi 2021, penambahan platform Shopee dan Lazada.

 

Kohort 3 dan 4 program ini sedang dijalankan dan 200 usahawan dilatih untuk meningkatkan hasil jualan melalui platform secara atas talian manakala kohort 5 program ini telah dibuka untuk pendaftaran.

 

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Mas Ermieyati menggesa usahawan supaya beralih ke arah ekonomi digital dan segera mendapatkan bantuan dari agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi seperti Insken yang menawarkan pelbagai program latihan serta bimbingan khususnya bagi topik pendigitalan.

 

"Kejayaan yang dicipta oleh usahawan melalui program E-Board ini perlu dijadikan sumber inspirasi buat usahawan lain untuk berubah ke tahap yang lebih baik dan meningkatkan daya tahan di dalam industri perniagaan yang kian mencabar," katanya. - DagangNews.com