Prospek Sunway REIT kukuh, RHB Research semak unjuran hasil lebih tinggi bagi FY22-FY23 | DagangNews Skip to main content

Prospek Sunway REIT kukuh, RHB Research semak unjuran hasil lebih tinggi bagi FY22-FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Mei - RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Sunway Real Estate Investment Trust's (Sunway REIT) dengan harga sasaran disemak lebih tinggi kepada RM1.46 daripada RM1.45 sebelum ini. 

 

Firma itu juga menaikkan unjuran hasil Sunway REIT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 5% dan 3%. 

 

Kumpulan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM106.32 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 3 kali ganda daripada RM36.82 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama 2021.

 

Ia menyaksikan hasil juga meningkat 47.7% kepada RM153.97 juta bagi tempoh berkenaan berbanding RM104.27 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapatan hartanah bersih (NPI) bagi segmen peruncitan juga meningkat lebih 2 kali ganda kepada RM70.3 juta didorong pemulihan kukuh dari segi kehadiran pengunjung dan jualan runcit.

 

Menurut RHB Research, prestasi yang direkodkan pada suku pertama itu adalah melebihi jangkaannya, dengan prestasi kukuh disokong terutamanya oleh permintaan terpendam, musim perayaan dan bantuan sewaan yang diberikan pada suku semasa.

 

"Walaupun pembukaan semula sempadan antarabangsa akan menjadi rangsangan kepada segmen perhotelan, tetapi kami berpendapat, pemulihan mungkin berlaku secara beransur-ansur.

 

"Ini kerana kami menjangkakan kadar pengembalian adalah mendatar pada FY22 dengan mengambil kira persekitaran lebihan bekalan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku berkenaan, purata kadar penghunian bagi segmen runcit dan pejabat kekal kukuh masing-masing pada 97% dan 84%, tidak berubah sejak Disember 2021.

 

Susulan prestasi suku pertama yang kukuh, pengurusan berharap REIT dapat mengelak kadar pengembalian negatif untuk tahun ini termasuk panduan rebat sewa pada masa akan datang.

 

Kumpulan menjangkakan Sunway Carnival Mall sepatutnya dibuka pada suku kedua 2022 dengan kadar pengambilan penghunian komited melebihi 90%.

 

Pada masa sama, Sunway Resort Hotel & Spa juga akan dibuka semula pada Mei selepas melalui proses naik taraf sejak Julai 2020.

 

Setakat 11.34 pagi ini, harga saham Sunway REIT menokok 4 sen atau 2.76% kepada RM1.49 dengan 2.9 juta saham diniagakan. - DagangNews.com