Proton Saga 2022 dilancar, harga bermula RM34,400 | DagangNews Skip to main content

Proton Saga 2022 dilancar, harga bermula RM34,400

Roslan Abdullah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong ketika majlis pelancaran Proton Saga 2022 hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SUBANG JAYA 12 Mei - Pengeluar kereta nasional, Proton melancarkan Proton Saga 2022 baharu hari ini, versi terbaharu model klasik jenama itu yang diadakan di Proton Centre of Excellence (CoE), di sini. 

 

Kereta baharu itu memberikan saranan pintar untuk pemandu dan membawa syarikat ke perjalanan baharu dengan ciri keselamatan dan kualiti yang dipertingkatkan dalam reka bentuk yang diperbaharui di mana ianya memberikan USP Gaya Tertinggi, Penjimatan Pintar dan Kestabilan Terhebat sebagai poin jualan uniknya (USP).

 

Tersedia dalam empat varian, Standard MT, Standard AT, Premium AT dan Premium S AT baharu, Proton Saga 2022 mengguna enjin 1.3 liter empat silinder 16-injap DOHC VVT yang terbukti dengan kuasa maksima 95 PS pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan atau transmisi automatic 4-kelajuan. 

 

Ia juga menawarkan ciri yang dinaik taraf daripada segi dalaman dan luaran serta penjimatan bahan api yang dipertingkatkan dengan bantuan ciri seperti penunjuk ECO Drive Assist. 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, Proton Saga telah menjadi kenderaan pilihan ramai rakyat Malaysia dan pembeli di luar negara selama hampir empat dekad.

 

"Kami berbangga untuk meneruskan legasinya dengan Proton Saga 2022. Dengan adanya kemaskini terbaru ini, ia memperluaskan lagi warisan model terlaris Proton untuk pemandu daripada semua peringkat umur dan latar belakang, dan dengan lebih dari 1.9 juta unit terjual pada lebih dari 28 pasaran di seluruh dunia, kami yakin nama Saga akan terus berkembang maju untuk tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Proton Saga 2022 menawarkan gaya supreme dengan peningkatan ketara yang meningkatkan tahap dalam kelasnya yang pasti menarik minat pembeli kereta kali pertama yang lebih muda dan juga bagi mereka yang mencari sedan segmen-A. 

 

 

proton

 

 

Bagi menambah kesegaran pada reka bentuk Saga, ia dilengkapi dengan skirt depan dan sisi baharu yang menawarkan rasa sporty yang diserasikan dengan roda aloi 15-inci baharu dan lampu siang LED.

 

Proton Saga 2022 menawarkan kelengkapan ciri keselamatan dan memberikan ketenangan minda kepada pemandu. Sebagai permulaan, 2 beg udara SRS adalah standard bagi semua varian serta Brek-Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA). 

 

 

proton

 

 

Kesemua varian transmisi automatik turut dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Traksi (TCS) untuk membantu mengekalkan kawalan dalam keadaan jalan yang licin, manakala ciri Hill Hold Assist (HHA) membolehkan pemandu bergerak dengan yakin tanpa khuatir tergelincir ke belakang semasa berada di atas cerun. 

 

Kamera undur yang dipasangkan dengan penderia tempat letak kereta hadapan dan belakang memudahkan untuk melakukan gerakan meletak kenderaan di ruang yang sempit.

 

 

proton

 

 

Ia ditawarkan pada harga RM34,400 untuk 1.3 Standard MT dan 1.3 Standard AT pula berharga RM38,300. Manakala 1.3 Premium AT berharga RM41,300 dan RM44,300 bagi 1.3 Premium S AT.

 

Kesemuanya adalah harga atas jalan bagi Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans, selain masih disertakan dengan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

 

Proton Saga 2022 kini dibuka untuk tempahan atas talian dan di bilik pameran Proton yang sah. Ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon dan Ruby Red. - DagangNews.com