PT Resources, pemborong makanan laut sejuk beku pertama bakal disenaraikan di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

PT Resources, pemborong makanan laut sejuk beku pertama bakal disenaraikan di Bursa Malaysia

Produk makanan laut sejuk beku PT Resources dijual ke pasaran tempatan dan antarabangsa. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Ogos - PT Resources Holdings Bhd. menandatangani perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn. Bhd. bagi melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Syarikat menyasarkan untuk melancarkan prospektus IPO pada suku ketiga ini, sekali gus muncul peruncit dan pemborong makanan laut sejuk beku yang pertama disenaraikan di Bursa Malaysia setakat ini. 

 

Secara dasarnya kumpulan dan anak-anak syarikatnya terlibat dalam pemprosesan dan dagangan produk makanan laut sejuk beku serta pemborong runcit daging sejuk dan beku dan produk bukan daging.

 

Produk makanan laut bekunya dijual ke pasaran tempatan dan antarabangsa, khususnya negara di Asia Pasifik dan Asia Barat.

 

 

mou
Pengarah Urusan PT Resources Heng Chang Hooi (kiri) bersama Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan selepas majis menandatangani perjanjian taja jamin antara kedua-dua pihak hari ini.

 

 

Pengarah Urusan PT Resources Heng Chang Hooi berkata, permintaan yang tinggi dan berdaya tahan untuk makanan laut, merupakan komponen penting dalam diet yang sihat, meletakkan kumpulan dalam kedudukan yang kukuh untuk mengejar pertumbuhan mampan, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

 

Katanya, kumpulan bercadang menggunakan hasil IPO untuk membiayai perbelanjaan modal bagi gudang penyimpanan sejuk baharu serta modal kerja untuk pembelian bahan mentah, yang kebanyakannya terdiri daripada makanan laut dan produk daging segar dan beku

 

"Kami dapati purata penggunaan makanan laut di Asia Pasifik berdasarkan Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas adalah yang tertinggi di dunia iaitu 33.9 kilogram (kg) per kapita. 

 

"Walaupun penggunaan makanan laut per kapita di Asia Barat secara relatifnya lebih rendah daripada purata global 19.2 kg per kapita, rantau itu mengimport volum makanan laut beku yang lebih tinggi berbanding negara lain di rantau ini.

 

"Oleh itu, kami menyedari bahawa pasaran ini akan terus memberikan peluang untuk kami manfaatkan dan berhasrat untuk terus mengembangkan eksport kami ke pasaran ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mercury Securities ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk penyenaraian syarikat, yang melibatkan terbitan awam sebanyak 135,000,000 saham biasa baharu.

 

Berdasarkan perjanjian taja jamin itu, Mercury Securities akan menaja jamin sejumlah 40,127,000 saham baharu, terdiri daripada 26,751,000 saham yang disediakan kepada orang ramai melalui undian manakala 13,376,000 saham yang diperuntukkan untuk pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan PT Resources dan anak syarikatnya. 

 

Sebanyak 27,995,000 saham baharu akan ditempatkan kepada pelabur terpilih manakala 66,878,000 kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. - DagangNews.com