PUNB tubuh jabatan khas fokus perniagaan digital | DagangNews Skip to main content

PUNB tubuh jabatan khas fokus perniagaan digital

Perbandanan Usahawan Nasional Berhad. (PUNB)


KUALA LUMPUR 11 Sept. - Satu jabatan khas akan ditubuhkan oleh Perbandanan Usahawan Nasional Berhad. (PUNB) bagi mengfokuskan kepada perniagaan digital.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah penubuhan itu selaras dengan objektif yang diletakkan oleh PUNB untuk mengfokuskan bidang digital pada tahun 2020.

"Penubuhan ini bermatlamat untuk membantu rakan usahawan untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam perniagaan digital.

"Tahun ini PUNB akan lebih fokus kepada bidang digital kerana perniagaan baharu ini lebih menarik minat banyak pihak terutamanya golongan usahawan muda," katanya dalam satu kenyataan.

Noh Omar
Noh Omar

 

Tambah beliau, pihaknya juga masih menawarkan pembiayaan kepada usahawan dalam bidang peruncitan, pengedaran dan perdagangan.

Setakat 31 Ogos 2020, sebanyak RM1.15 juta pembiayaan perniagaan diluluskan dan telah diserahkan kepada pemohon.

Jelas beliau lagi, jumlah pembiayaan tersebut melibatkan lima usahawan daripada tiga syarikat di negeri Sabah.

Mengakui proses kelulusan setakat 31 Ogos tahun ini sedikit perlahan, beliau memberitahu, situasi tersebut berlaku adalah disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.

"Meskipun PUNB ada fokus baharu, kami masih menawarkan pembiayaan kepada usahawan.

"Biarpun proses agak perlahan kelulusan agak perlahan, namun proses permohonan pembiayaan berjalan seperti biasa dan ada beberapa permohonan yang sedang diproses.

"Bagi Rakan Usahawan PUNB dan Usahawan Bumiputera yang ingin menyertai perniagaan digital boleh hubungai PUNB untuk maklumat lanjut," ujarnya lagi. - DagangNews.com