Purata gaji & upah bulanan meningkat kepada RM3,224 | DagangNews Skip to main content

Purata gaji & upah bulanan meningkat kepada RM3,224

Pekerjaan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Purata gaji dan upah bulanan bagi tahun 2019 meningkat 4.4% kepada RM3,224.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding sebelumnya iaitu RM3,087.

"Berdasarkan hasil tinjauan, penerima gaji dan upah pada tahun 2019 meningkat 5.0% kepada 9.2 juta berbanding 8.8 juta pada 2018.

"Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan meningkat daripada RM3,087 kepada RM3,224 (4.4%) dalam tempoh sama," katanya dalam laporan tinjauan gaji dan upah bagi tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Laporan tinjuaan gaji dan upah memaparkan statistik gaji dan upah bagi tahun 2019.

Tinjauan tersebut dilaksanakan bermula Junuari hingga Disember 2019 menggunakan pendekatan isi rumah meliputi semua negeri di seluruh Malaysia.

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Statistik yang hanya melibatkan warganegara Malaysia itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat gaji dan upah bulanan daripada pekerjaan utama sepnuh masa atau setaraf untuk pekerja bergaji di sektor awam dan swasta.

Tambah beliau, dalam tempoh sama juga, penengah gaji dan upah bulanan mencatatkan peningkatan 5.8% kepada RM2,442 berbanding RM2,308 pada sebelumnya.

Hasil tinjauan mengikut jantina menunjukkan penengah dan purata gaji bulanan bagi golongan lelaki sentiasa lebih tinggi berbanding perempuan.

Bagaimanapun, penengah pada tahun 2016 menunjukkan nilai bagi lelaku dan perempuan adalah sama.

Pada 2019. penengah gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja lelaki adalah RM2,477 dan pekerja perempuan RM2,370, masing-masing meningkat 5.8% dan 6.4% berbanding tahun 2018.

Manakala purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki dan perempuan meningkat 4.1% dan 5.0% kepada RM3,304 dan RM3,108 berbanding tahun sebelumnya. - DagangNews.com