Skip to main content

Pusat Transformasi Komuniti Universiti UPM, MyFundAction berganding bahu bantu mangsa banjir

 

SERDANG 20 Dis Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia bukan sekadar membantu dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada komuniti, tetapi turut berganding bahu dengan NGO MyFundAction untuk membantu menyampaikan sumbangan segera kepada mangsa banjir di negeri Selangor semasa tempoh sukar ini.

 

Turut membantu dalam misi ini adalah Pusat Pertanian Putra yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin, dan skuad Putra Bakti sukarelawan daripada Majlis Perwakilan Pelajar UPM yang diketuai oleh Haziq Zikri serta warga UPM yang menyumbang dari sudut kewangan, bantuan komunikasi dan sokongan moral.

 

Pengarah UCTC, Prof. Dr. Loh Teck Chwen berkata misi ini agak mencabar kerana berhadapan dengan dua situasi bencana yang sedang melanda iaitu COVID-19 dan banjir besar.

 

“Apa pun keadaan dan situasi, kita perlu jaga diri sendiri terlebih dahulu, ahli keluarga dan mangsa banjir dalam keadaan selamat, di lindungi dan para sukarelawan juga perlu berhati-hati agar sentiasa mematuhi SOP bagi mengelakkan tercetusnya penularan COVID,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Sebagai sebuah Keluarga Malaysia, tindakan segera yang dilakukan ialah menyumbangkan bantuan pek makanan, air mineral, hygiene kit dan tuala wanita ke beberapa lokasi yang kritikal dan memerlukan bantuan segera untuk menampung kira-kira 400 orang mangsa banjir.

 

Bentuk bantuan lain yang diperlukan adalah lilin, pelitup muka, barangan kebersihan diri, tuala wanita, cecair sanitasi tangan, lampin kanak-kanak, pakaian, tilam dan selimut.

 

Dua lokasi awal yang disasarkan oleh UCTC UPM dan Pusat Pertanian Putra bagi menghulurkan sumbangan adalah Taman Mas, Puchong dan Kampung Baru (HICOM), Puchong bagi menampung keperluan segera mereka.

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

 

''Kami juga ingin menasihatkan agar ibu bapa dapat mengawasi anak-anak masing-masing agar tidak bermain dengan air banjir bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

 

‘’Banjir bukan tempat bermain air kerana keadaan air yang kurang bersih boleh menyebabkan masalah kesihatan,’’ kata Prof Dr Loh. – DagangNews.com