Ramssol bekerjasama dengan ELMU V sedia kursus latihan | DagangNews Skip to main content

Ramssol bekerjasama dengan ELMU V sedia kursus latihan

 

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Ramssol Group Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Rams Solutions Sdn. Bhd. memeterai perjanjian kerjasama dan pemasaran strategik dengan ELMU V Sdn. Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kerjasama tersebut bagi mengalakkan kerjasama dalam mengendalikan kursus latihan berkaitan kerangka kerja perundangan, liabiliti korporat, pengurusan risiko rasuah dan pencegahan rasuah organisasi.

 

Menerusi perjanjian itu, ELMU V akan memberikan Rams Solutions hak eksklusif untuk memasarkan dan menjual kursus latihan berkenaan. 

 

"Sebagai timbal balas daripada pemberian hak eksklusif berhubung kursus latihan yang dikendalikan ELMU V berdasarkan kerjasama strategik dengan Akademik Anti Rasuah Malaysia (MACA), Rams Solutions perlu membayar kepada ELMU pertimbangan sebanyak RM1.5 juta.

 

"Ia akan dibayar sebanyak 2 kali dengan pembayaran pertama sebanyak RM500,000 pada 3 Januari 2022 diikuti RM1 juta pada 16 Februari 2022," katanya. 

 

Menurut Ramssol, perjanjian itu bermula daripada tarikh kuat kuasa (hari ini) dan kekal bagi tempoh 2 tahun dan booleh dilanjutkan bagi tempoh seterusnya jika dipersetujui secara bertulis kedua-dua pihak sebelum tamat tempoh berkenaan.

 

ELMU V, adalah anak syarikat ELMU Education Group Sdn Bhd (EEG) yang diperbadankan di Malaysia pada 18 Mei 2021  di bawah Akta Syarikat 2016 sebagai syarikat sendirian berhad.

 

Aktiviti utamanya ialah menyediakan perkhidmatan latihan dan khidmat nasihat serta perkhidmatan perundingan pengurusan perniagaan.

 

EEG telah memeterai perjanjian strategik dengan MACA untuk mengendalikan kursus latihan, yang mana EEG memberikan hak untuk memasarkan dan menjalankan kursus tersebut kepada ELMU V.

 

Ramssol berkata, kerjasama tersebut adalah sejajar dengan strategi dan usaha kumpulan untuk mengembangkan latihan perniagaan berkaitan teknologi maklumat.

 

Katanya, ia dijangka memberi aliran pendapatan tambahan dan meningkatkan asas pendapatan sekali gus mampu menambah baik prestasi kewangan kumpulan serta nilai pemegang saham.

 

"Perjanjian ini dijangka tidak memberi kesan kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, gearan, modal saham dan pemegangan utama saham Ramssol dan anak syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

"Tetapi, ia dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan semasa tempoh perjanjian ini," tambahnya. - DagangNews.com