Skip to main content

Rangka kerja bank digital di peringkat akhir - BNM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Bank Negara Malaysia (BNM) kini berada di peringkat akhir untuk membangunkan pelesenan rangka kerja perbankan digital di negara ini. 

 

Langkah ini selaras dengan hasrat bank pusat itu untuk meningkatkan akses kepada penyelesaian kewangan yang berkualiti dan mampu milik terutama kepada segmen pasaran yang sukar dicapai dan belum diterokai. 

 

Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, berdasarkan pengalaman 'sandbox' mereka, didapati alternatif digital dan penyelesaian sedang dibangunkan dalam sektor takaful dan insurans. 

 

"Peralihan kami kepada e-pembayaran juga kekal mapan dengan peningkatan 47% dalam jumlah transaksi menerusi perbankan internet dan mudah alih dan pengguna aktif e-dompet meningkat 260% antara Ogos 2019 dan 2020. 

 

"Tambahan pula, terdapat kemajuan bagi membolehkan intra-operasi perkhidmatan e-dompet yang ditawarkan oleh bank dan penerbit e-duit bukan bank," katanya ketika berucap pada Dialog Fintech Islam Ketiga (IFD2020), baru-baru ini.

 

Tahun lalu, BNM dilaporkan bercadang mengeluarkan sehingga 5 lesen bank digital kepada pemohon yang layak bagi menubuhkan bank berkenaan untuk urusan perbankan konvensional atau secara Islam di negara ini.

 

Berikutan cadangan penubuhan bank digital itu, bank pusat berkenaan pada 27 Disember 2019 mengeluarkan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital, yang mana ia adalah sebahagian daripada langkah yang dilaksanakannya untuk membolehkan penggunaan teknologi yang inovatif dalam sektor kewangan.

 

Bulan lalu, kerajaan negeri Sarawak telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen perbankan digital dari BNM. 

 

Bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), termasuk keperluan berkaitan yang terdiri daripada standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna, dan juga pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

 

Menurut Adnan Zaylani, BNM akan terus memberi fokus untuk melaksanakan peraturan yang terancang dengan baik bagi memudahkan pendigitalan dan inovasi dalam perkhidmatan kewangan.  

 

"Kesemua ini bertujuan untuk menyokong industri perkhidmatan kewangan beralih kepada era pendigitalan dan inovasi. Kami menaruh harapan tinggi supaya perbankan Islam juga dapat memanfaatkannya," katanya. 

 

Beliau berkata, kelebihan teknologi akan mengurangkan kos operasi dan membolehkan penyedia perkhidmatan kewangan Islam memperluaskan liputan dengan perkhidmatan yang lebih mampu milik. 

 

"Kadar penembusan mudah alih yang tinggi dan penggunaan internet, peralihan kepada e-dagang dan meningkatkan penggunaan e-bayaran adalah trend penting yang akan membawa intitusi kewangan di Malaysia ke tahap seterusnya," katanya. - DagangNews.com