KUALA LUMPUR 19 Ogos - Ford Ranger generasi terbaharu yang diperkenalkan pertama kali di Malaysia pada Julai 2022 adalah hasil daripada pandangan dan maklum balas pelanggan serta dibangunkan melalui kaji selidik yang menyeluruh untuk menjadikannya lebih baik.
Pereka memanfaatkan pandangan yang diperoleh itu, dan digabungkan bersama formula trak pikap global yang telah terbukti dan menerima anugerah untuk menghasilkan Ranger generasi baharu yang ikonik, sarat kepelbagaian dan boleh dipercayai pelanggan.
Ketua Pereka Ranger, Max Tran berkata, beliau dan pasukannya meluangkan banyak masa bersama pelanggan di seluruh dunia untuk memahami cara mereka menggunakan trak pikap masing-masing setiap hari.
Beliau berkata, Ford menjalankan lebih 5,000 wawancara dan merakamkan lebih 1,800 halaman nota lapangan sebagai rujukan, yang membantu membangunkan dan menjadi panduan bagi jurutera serta pereka untuk membangunkan trak pikap dengan ciri dan kemampuan diperlukan pelanggan.
“Memerhati cara pemilik menggunakan trak mereka, sama ada untuk tujuan kerja, keluarga atau riadah, telah mengilhamkan beberapa idea penting yang membawa kepada keputusan terhadap rekaan dan pembangunan trak berkenaan.
“Satu contoh terbaik adalah kotak pemijak bersepadu. Dalam sesi klinik, kami dapati ramai pelanggan menghadapi masalah untuk mencapai barangan di ruang barangan belakang, dari bahagian sisi trak, ramai juga yang memijak tayar belakang atau bampar untuk berbuat demikian.
“Jadi kami tampil dengan idea sebuah kotak pemijak, diletakkan di belakang roda belakang. Kami zahirkannya dan lakukan ujian dengan pemilik dan maklum balas yang diterima sangat memuaskan. Ada yang mengatakan yang ciri itu sahaja sudah cukup menjadi alasan untuk mereka membeli Ford Ranger," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, akan mempertontonkan Ranger generasi terbaharu ini di Kuching pada 7 hingga 11 September 2022 di Vivacity Megamall dan Suria Sabah Shopping Centre, Kota Kinabalu pada 5 hingga 9 Oktober 2022.
Menjelang pelancarannya di bilik pameran, acara pratonton itu adalah sebahagian daripada siri jelajah seluruh negara bagi Ranger generasi baharu ini di lima kawasan, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Untuk maklumat lanjut tentang Ranger generasi baharu, SDAC dan Ford, ikuti Ford Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube atau layari www.sdacford.com.my. - DagangNews.com