Reservoir Link wujudkan RL ADS Power Sdn. Bhd. bagi bangunkan penyelesaian penyimpanan tenaga | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link wujudkan RL ADS Power Sdn. Bhd. bagi bangunkan penyelesaian penyimpanan tenaga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - Reservoir Link Energy Berhad mewujudkan syarikat kerjasama dengan ADS Asset Holdings Sdn. Bhd. bagi membina dan membangunkan penyelesaian penyimpanan tenaga.

 

Reservoir Link dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi jalinan kerjasama itu kedua-dua syarikat bersetuju untuk manjadikan Reservoir Link sebagai pemegang saham terbesar RL ADS Power Sdn. Bhd. sebanyak 51% manakala ADS Asset Holdings sebanyak 49%.

 

Menerusi jalinan kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyumbangkan modal tunai permulaan dengan cara langganan 100,000 saham biasa dalam syarikat itu dengan dalam jumlah agregat RM100,000.

 

Penyelesaian penyimpanan tenaga bertujuan untuk mengurangkan pembaziran dan ketidakcekapan daripada tenaga yang dijana melalui infrastruktur tenaga boleh diperbaharui.

 

Ini akan melalui pengenalan penyelesaian bateri kos rendah yang mampan alam sekitar yang mampu menyimpan tenaga yang dijana secara alternatif untuk aplikasi komersial dan perindustrian menjadikan tenaga boleh diperbaharui lebih berdaya maju.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama itu kerana ia merupakan fasa baharu penlibatan mereka dalam penyelesaian penyimpanan tenaga bersama ADS Asset Holdings.

 

"Kami mengiktiraf potensi peningkatan yang akan dapat dibawa oleh teknologi ini ke dalam pasaran memandangkan permintaan yang kukuh sejak pengenalan tenaga boleh diperbaharui.

 

"Penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang berkembang pesat dan penyelesaian penyimpanan tenaga akan menjadi tumpuan utama seterusnya untuk meningkatkan ekosistem boleh diperbaharui," katanya.

 

Reservoir Link juga kekal komited dengan perniagaan sedia ada dan pada masa sama mengambil langkah memasuki perniagaan teknologi hijau dan akan terus berusaha mencari rakan kongsi berpotensi yang mampu membantu syarikat dalam bidang itu. - DagangNews.com