Respond.io berjaya kumpul RM31.97 juta untuk Dana Series A | DagangNews Skip to main content

Respond.io berjaya kumpul RM31.97 juta untuk Dana Series A

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Respond.io iaitu perisian perdagangan sosial kepada perbualan sebagai platform perkhidmatan (SaaS) berjaya mengumpul sejumlah AS$7 juta (RM31.97 juta) untuk Dana Series A.

 

Ia diketuai oleh Headline Asia dengan penyertaan daripada AltaIR Capital, Smart Partnership Capital, Sterling Oak Group & Calendula Ventures.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama respond.io, Gerardo Salandra berkata, pihaknya berjaya meningkatkan hasil sebanyak 25 kali ganda sejak pusingan sebelumnya dan akan menggunakan pembiayaan itu bagi meluaskan rangkaian keupayaan integrasinya di Asia Barat, Eropah dan Amerika Latin.

 

"Gelombang baharu inovasi perdagangan digital dipelopori oleh jenama kecil menggunakan Instagram. 

 

"Ia menggunakan perdagangan sosial untuk mendorong pembeli ke akaun sosial yang dibuat khusus dan membolehkan pengguna mempercepatkan keputusan pembelian melalui WhatsApp sebagainya.

 

"Kami telah membina platform yang membolehkan jenama dari pelbagai negara menggunakan strategi yang inovatif itu pada skala sejuta perbualan sehari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

respond

 

Ditubuhkan pada 2017 oleh Salandra, Hassan Ahmed dan Iaroslav Kudritskiy, respond.io merupakan perisian saluran omni yang berjaya meraih kejayaan segera di Hong Kong, Singapura, India, Thailand, Filipina dan Malaysia.

 

Sejak itu, firma itu memperkenalkan alat bantuan analisis, automasi serta pemasaran lanjutan dan ia membolehkan lebih 10,000 perniagaan termasuk jenama besar seperti Klook, Decathlon, Abenson, Yoho, Roche, ShareChat & Bigo bagi memanfaatkan revolusi perdagangan sosial.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi respond.io, Hassan Ahmad berkata, pihaknya telah mencipta infrastruktur yang luar biasa untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan memproses lebih 140 juta mesej setiap bulan.

 

Katanya, firma itu juga berada di landasan untuk menerajui pasaran secara global dengan penyelesaian perdagangan sosial dan perbualan melibatkan peruncit, syarikat perusahaan dan jenama besar dunia. - DagangNews.com