RichWorks-MPay meterai kerjasama perkasakan digital PKS, Julai depan | DagangNews Skip to main content

RichWorks-MPay meterai kerjasama perkasakan digital PKS, Julai depan

Azizan Osman
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat latihan dan bimbingan pemasaran, RichWorks International Sdn. Bhd. dijangka memeteraikan kerjasama dengan penyedia teknologi kewangan, ManagePay Systems Berhad (MPay) pada Julai 2021. 

 

Kerjasama itu bakal menyaksikan penyaluran kepakaran digital serta teknologi oleh MPay kepada usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah bimbingan RichWorks, menurut Pengasas dan Pengerusinya, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.

 

“Sebenarnya, kita sudah mula meneliti produk (oleh MPay), dengan staf mengenai pelancaran latihan produk-produk ini, supaya latihan dan digitalisasi boleh dimulakan, selewat-lewatnya Julai.

 

“(Jadi) kita mahu lancarkan fasa pertama, pada awal Julai sudah tentu (akan dimulakan) dengan Titanium (kumpulan usahawan di bawah mentorship RichWorks dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta), supaya yang ada dalam kumpulan ini, kita mahu uji dahulu adakah mereka dapat menyesuaikan diri.

 

“Ada tiga aspek yang kita mahu mulakan sebab banyak sangat MPay salurkan terminal dan semua itu boleh diberikan (percuma) di bawah geran kerajaan,” katanya dalam satu temubual eksklusif secara maya petang ini. 

 

Pada Jumaat lalu, MPay dalam maklumannya di Bursa Malaysia mengumumkan pengambilalihan kepentingan sebanyak 5.762% atau 44 juta unit saham oleh Azizan menerusi pasaran terbuka, sekali gus menjadikan beliau sebagai pemegang saham utama kumpulan. 

 

Azizan mendedahkan bahawa ini merupakan pelaburan saham dalam jumlah yang besar pertama dilakukannya sehingga muncul menjadi pemegang kepentingan utama di dalam sesebuah syarikat tersenarai. 

 

Baca : Azizan Osman kini antara pemegang saham utama MPay

 

Beliau tampil menjelaskan tindakan itu adalah seiring hala tuju RichWorks pada masa akan datang, selepas 13 tahun diasaskan sejak 2008, iaitu antaranya untuk memperkasakan aspek digital dan penggunaan teknologi dalam kalangan usahawan di bawah bimbingan syarikat tersebut. 

 

Katanya, MPay yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman itu memegang 12 lesen daripada pihak berkuasa di mana membolehkan mereka menyokong pertumbuhan PKS dari segi pembiayaan, teknologi, pendigitalan dan sistem bisnes terkini.

 

Setakat ini, terdapat lima teknologi dan sistem digital oleh MPay yang sedang diteliti RichWorks untuk disalurkan kepada perniagaan-perniagaan di bawah program latihan dan bimbingan syarikat, tambah Azizan lanjut.

 

Mengulas mengenai hala tuju RichWorks, ujar Azizan, syarikat menggariskan lima sasaran untuk dicapai menjelang tahun 2023 termasuk melahirkan sekurang-kurangnya 1 juta usahawan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Turut menyasarkan untuk memberi sokongan dan bimbingan kepada sekurang-kurangnya 10,000 usahawan untuk mencapai RM1 juta jumlah jualan tahunan serta memberi sokongan dan bimbingan kepada lebih 1,000 perniagaan bagi mencapai RM10 juta jumlah jualan tahunan.

 

Selain itu, syarikat mahu membimbing lebih ramai usahawan untuk mendapatkan dana, khidmat nasihat perniagaan dan konsultasi sehingga tersenarai di Bursa Malaysia serta melahirkan usahawan cemerlang teknologi maklumat (IT) dan digital.

 

Sebagai rekod, seramai 299,641 usahawan telah berdaftar di bawah program RichWorks yang ketika ini turut memberikan latihan secara percuma. - DagangNews.com