RM1.85 bilion bantu usahawan wanita - MEDAC | DagangNews Skip to main content

RM1.85 bilion bantu usahawan wanita - MEDAC

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menyalurkan dana sebanyak RM1.85 bilion kepada 176,356 usahawan wanita bagi tempoh 2014 hingga 2020. 

 

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemberian dana melibatkan pelbagai program bantuan pembiayaan oleh MEDAC melalui agensi-agensi di bawahnya. 

 

Katanya, bagi tempoh itu, Bank Rakyat telah meluluskan pembiayaan kepada 14,397 usahawan wanita dengan jumlah terkumpul sebanyak RM225.22 juta. 

 

"Dari segi pecahan kaum, sebanyak 13,911 usahawan wanita bumiputera menerima bantuan berjumlah RM211.36 juta manakala 114 usahawan wanita menerima RM8.77 juta. 

 

"Usahawan wanita India pula, seramai 137 telah dibantu dengan kelulusan pembiayaan sebanyak RM3.41 juta. Untuk kategori kaum lain pula, 105 usahawan wanita telah menerima bantuan berjumlah RM1.67 juta," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini. 

 

Beliau menjawab soalan Senator P. Waytha Moorthy mengenai bantuan yang diberikan kerajaan dalam menggalakkan penyertaan wanita dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengikut kaum sejak 2014 hingga 2020. 

 

Wan Junaidi berkata, Tekun Nasional pula telah menyalurkan sejumlah RM1.62 bilion kepada 161,522 usahawan wanita di seluruh negara. 

 

Katanya, berdasarkan Banci Ekonomi 2016, jumlah usahawan PKS berdaftar di Malaysia adalah sebanyak 907,065. 

 

"Daripada jumlah tersebut, 186,855 atau 20.6% adalah PKS yang dijalankan usahawan wanita," - DagangNews.com