RM34 bilion potensi perdagangan dicapai di Ekspo Dubai - PM | DagangNews Skip to main content

RM34 bilion potensi perdagangan dicapai di Ekspo Dubai - PM

 

PUTRAJAYA 4 Dis - Malaysia berjaya menjana lebih RM33.9 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam tempoh lapan minggu pertama penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Menurut beliau, ia dicapai menerusi 43 memorandum persefahaman (MoU), memorandum kerjasama dan surat niat, serta 602 petunjuk perniagaan.

 

Beliau berkata, pencapaian itu disumbang menerusi usaha sama rentas kementerian membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi di bawah kementerian berkenaan selain syarikat swasta.

 

"Bagi memastikan pencapaian dan sinergi lebih padu, penyertaan rentas kementerian ini diselaraskan menerusi sub-tema Pavilion Malaysia iaitu pengkomersialan teknologi tempatan, membangunkan ekosistem 'startup' yang mampan, inovasi teknologi hijau, daya tahan iklim dan infrastruktur lestari, bandar pintar dan rendah karbon, kewangan mampan serta industri halal dan pembuatan mampan.

 

"Malaysia juga berjaya melepasi sasaran asal iaitu RM10 bilion bagi potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, kejayaan perjanjian perdagangan dan pelaburan dimeterai itu membuktikan syarikat dan teknologi Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya menarik pelaburan serta minat daripada pelbagai rakan strategik.

 

Katanya, momentum itu dijangka berterusan untuk 18 minggu akan datang dengan usaha gigih pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

 

"Tahniah kepada MOSTI kerana menerajui penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai, bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi pelaksana.


 

PM

 


"Dengan perkembangan positif ini, kerajaan yakin penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai akan menghasilkan impak yang lebih luas lagi," kata Perdna Menteri.

 

Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai yang direka bentuk dengan konsep kanopi hutan hujan tropika bertemakan Memacu Kelestarian merekodkan kunjungan lebih 330,000 pelawat sehingga 3 Disember lalu.


 

PM
Konsep kanopi hutan hujan tropika di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

 


Lawatan peringkat tertinggi ke Pavilion Malaysia termasuk menerima tetamu kehormat dari Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Kemboja, Kuwait, Republik Guinea, Russia, United Kingdom (UK) serta Dewan Perniagaan Sharjah," katanya. - DagangNews.com