Sabah peruntuk RM50 juta bantu rakyat terjejas COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Sabah peruntuk RM50 juta bantu rakyat terjejas COVID-19

Sabah

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM50 juta bagi membantu rakyat di negeri berkenaan yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah yang diadakan hari ini.

Jelasnya, mesyuarat tersebut adalah untuk membicangkan isu berkaitan pandemik COVID-19 di negeri berkenaan.

"RM10 juta daripada jumlah tersebut diperuntukkan untuk bekalan makanan kepada penduduk yang terkesan di empat daerah terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar.

"Empat daerah yang terlibat itu ialah Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji Noor
Hajiji Noor 

 

Tambah beliau, urusan berkaitan COVID-19 di negeri berkenaan juga akan diuruskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri.

Susulan itu, Sabah COVID-19 Command Centre dimansuhkan.

"Sabah COVID-19 Command Centre dimansuhkan, dan peranannya diletakkan di bawah jawatakuasa ini.

"Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong serta Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi pula memegang jawatan sebagai timbalan pengerusi.

"Ahli-ahli jawatankuasa ini terdiri daripada agensi negeri serta persekutuan yang berkaitan," tambahnya lagi. - DagangNews.com