Skip to main content

Saham EcoWorld, UEM Sunsrise naik RM0.005 selepas tidak jadi bergabung

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Kedua-dua saham syarikat pemaju hartanah utama negara, Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) dan UEM Sunrise Berhad (UEMS) melonjak sedikit iaitu RM0.005 daripada paras yang ditutup semalam walaupun tidak jadi meneruskan langkah penggabungan.

 

Selepas 30 minit didagangkan apabila urus niaga kedua-dua saham syarikat itu diteruskan semula pada 3.30 petang ini, nilai saham EcoWorld dan UEMS masing-masing mencecah RM0.45 dan RM0.44. 

 

EcoWorld menyaksikan jumlah saham dibeli iaitu 618,900 melebihi daripada jumlah yang dijual, 294,000 setakat 4 petang ini. 

 

UEMS sebaliknya menyaksikan jumlah saham dijual, 877,000 melebihi daripada ekuiti yang dibeli, 345,300 pada tempoh yang sama. 

 

Terdahulu, dalam sebuah makluman di Bursa Malaysia, EcoWorld menolak cadangan penggabungan yang dicetuskan oleh Kumpulan UEM pada Oktober tahun lalu. 

 

Baca : EcoWorld tolak cadangan bergabung dengan UEM Sunrise

 

Menurut Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin, keputusan itu diambil selepas membuat pertimbangan ke atas perbincangan dengan UEMS pada bulan ini dan penilaian berhati-hati oleh Ahli Lembaga Pengarahnya.

 

Ujar beliau, penamatan rundingan mengenai penggabungan itu akan membolehkan EcoWorld secara aktif meneruskan usaha cadangan korporat lain yang mungkin lebih melengkapi rancangan dan strategi pertumbuhan kami sekarang.

 

Sementara itu, UEMS dalam makluman berbeza di Bursa Malaysia menjelaskan, pihaknya tidak akan meneruskan sebarang perbincangan lanjut berhubung cadangan penggabungan itu selepas menerima maklum balas daripada EcoWorld. 

 

Usul penggabungan itu telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada pihak yang berbeza termasuk penganalisis yang melihat sekiranya langkah itu menjadi, ini akan lebih menguntungkan UEMS. 

 

Cadangan ini mampu memberi impak positif kepada UEMS kerana kekuatan yang dimiliki EcoWorld dalam pemasaran dan perancangan perbandaran dapat membantu meningkatkan jualan. 

 

Dalam masa sama, EcoWorld mampu mengurangkan pendapatan yang tidak menentu menerusi jualan hartanah di luar negara. 

 

Melihat sudut pandang EcoWorld pula, penganalisis berpendapat langkah penggabungan ini mungkin hanya memberi manfaat kepada kumpulan syarikat daripada pemegang saham yang lebih besar iaitu Khazanah Nasional Berhad, memandangkan prospek sektor hartanah dan ekonomi tidak menentu. - DagangNews.com