Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Harga saham Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) berpotensi untuk melonjak sehingga 16% berdasarkan trend pergerakan saham tersebut yang positif.
Harga saham tersebut mampu mencabar sasaran paras rintangan RM1.55 dan RM1.63, di mana masing-masing menunjukkan potensi peningkatan harga sebanyak 11% dan 16%, menurut penganalisis di Kenanga Research, Koh Huat Soon.
Katanya, pergerakan menaik harga saham Pavilion REIT akan berterusan memandangkan ia kekal berada di atas garisan purata pergerakan 55 hari selain indikator Parabolic SAR oleh firma itu menunjukkan trend peningkatan.
“Dari segi penilaian, Pavilion REIT ketika ini didagangkan pada kadar hasil dividen hadapan 2.7% dan 4.7%, masing-masing berdasarkan unjuran agihan setiap unit (DPU) konsensus sebanyak 3.8 sen bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dan 6.6 sen untuk FY22.
“Saham itu telah merosot daripada paras tertingginya, RM1.65 pada permulaan Julai 2020 kepada paras terendah RM1.26 pada akhir Mei 2021, sebelum sebahagiannya memulih untuk menghampiri paras RM1.40 semalam, sekali gus mencerminkan penurunan 15% daripada paras tertinggi,” kata Huat Soon dalam satu nota teknikal, hari ini.
Sebagai rekod, Pavilion REIT memiliki portfolio hartanah berkualiti tinggi yang terletak di sekitar kawasan Lembah Klang seperti Pavilion Mall, Pavilion Tower, Intermark Mall, Da Men Mall, dan Elite Pavilion Mall.
Dipacu oleh prospek sektor REIT yang lebih baik susulan daripada pembukaan semula ekonomi domestik, Pavilion REIT berpotensi mengaut keuntungan daripada kehadiran pengunjung yang lebih tinggi ke hartanahnya.
Kata Huat Soon lagi, walaupun landskap industri tersebut dilihat mencabar setakat ini, namun Pavilion REIT berjaya mencatatkan peningkatan 104% dalam perolehan bersih kepada RM20.4 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21).
Lonjakan itu terutamanya dipacu oleh pendapatan hartanah bersih yang lebih tinggi, menjadikan keuntungan bersih sepanjang tempoh enam bulan pertama FY21 sebanyak RM51.6 juta, peningkatan 22.4% berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Melangkah ke hadapan, kata Huat Soon, Pavilion REIT dijangka mencatatkan keuntungan bersih RM114.3 juta pada FY21 dan RM200.4 juta pada FY22. - DagangNews.com