Saham Serba Dinamik susut, selepas umum ambil tindakan undang-undang | DagangNews Skip to main content

Saham Serba Dinamik susut, selepas umum ambil tindakan undang-undang

 

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Saham Serba Dinamik Holdings Bhd. dibuka rendah dalam dagangan pagi ini selepas semalam mengumumkan mengambil tindakan undang-undang terhadap KPMG.

 

Setakat 9.54 pagi, sahamnya susut 2.4% kepada 61 sen sesaham. 

 

Serba Dinamik menyaman firma audit KPMG atas dakwaan cuai di dalam pengauditan sehingga mengakibatkan syarikat menanggung kerugian hampir RM5 bilion dari segi permodalan pasaran.

 

Writ saman tersebut telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, dengan Serba Dinamik melantik peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili syarikat.

 

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed dan Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir. Ts. Abdul Karim Abdullah dalam sidang media petang semalam, yang turut dihadiri Muhammad Shafee Abdullah.

 

Baca : Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai

 

AmResearch dalam nota kajian semalam mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Serba Dinamik dengan nilai harga saksama 53 sen sesaham (berbanding sebelum itu, 65 sen).

 

Harga sasaran juga ditambat dengan pengurangan 40% bagi nilai buku bersih untuk tahun kewangan 2020 pada 88 sen sesaham yang juga mencerminkan penarafan ESG tiga bintang untuk syarikat tersebut.

 

Firma itu menjangkakan spekulasi negatif akan terus berlegar-legar dalam pasaran terhadap harga saham Serba Dinamik yang mungkin akan berakhir dalam tempoh 4 bulan, selagi semakan bebas terhadap audit belum berakhir dan laporan tahunan syarikat dikeluarkan 31 Oktober ini. - DagangNews.com