Saham Uzma dijangka teruskan aliran menaik | DagangNews Skip to main content

Saham Uzma dijangka teruskan aliran menaik

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Saham Uzma Bhd dijangka meneruskan aliran menaik selepas ia melonjak dari tahap rintangan kepada sokongan menjadikan harga sahamnya 67 sen semalam.

 

RHB Retail Research berkata, jika momentumnya kekal bertahan di atas paras tersebut, ia akan mendorong saham Uzma ke paras 74 sen dan mungkin mencecah 76 sen.

 

"Namun jangkaan ini mungkin meleset jika saham Uzma jatuh di bawah paras sokongan 63.5 sen," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

Uzma terlibat dalam penyediaan perkhidmatan minyak dan gas (O&G) di bidang kejuruteraan geosains & takungan, penggerudian &
operasi serta pengurusan projek.



Bagi tahun kewangan berakhir Jun 2021, Uzma merekodkan untung bersih teras sebanyak RM21.7 juta, melonjak 119% daripada RM9.9 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya didorong oleh pengurusan kos yang lebih baik dan kecekapan operasi yang lebih tinggi.



Sementara itu Kenanga Investment bank menjangkakan intung bersih Uzma akan mencecah RM26 juta, meningkat 19% tahun ke tahun pada 2022 dan RM33 juta (+27%) pada tahun kewangan 2023.

 

"Dengan harga minyak mentah Brent pada masa pada di atas paras AS$80 setong, yang mungkin meningkat berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan penyambungan semula perjalanan udara, ini akan memberikan impak positif kepada pemain O&G sekaligun menaikkan semula sentimen dalam saham Uzma," katanya. 

 

Ogos lalu Uzma mengumumkan telah menerima penghargaan pesanan kerja bernilai RM29 juta dari Petronas Carigali Sdn Bhd untuk penyediaan kontrak insentif pemindahan risiko (RTIC) untuk pengaktifan semula telaga terbiar dan perkhidmatan peningkatan pengeluaran untuk aset Sabah.

 

Tempoh kontrak adalah selama tiga tahun, bermula pada 13 Julai 2021, hingga 12 Julai 2024. -DagangNews.com