Samsung Electronics tersenarai jenama 5 terbaik global - Interbrand | DagangNews Skip to main content

Samsung Electronics tersenarai jenama 5 terbaik global - Interbrand

Samsung Electronics Co. Ltd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung) berjaya tersenarai sebagai lima Jenama Terbaik Global 2020 dengan nilai jenama AS$62.3 bilion.

Berita mengembirakan itu diumumkan oleh sebuah syarikat perunding jenama di peringkat global iaitu Interbrand.

Samsung dalam satu kenyataan berkata, kejayaan manis itu berjaya dicapai meskipun berdepan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar akibat penularan wabak COVID-19.

"Samsung menyaksikan peningkatan nilai jenama sebanyak 2% kepada AS$ 62.3 bilion pada 2020 berbanding AS$ 61.1 bilion pada tahun lalu.

"Syarikat itu berjaya mendominasi tangga teratas global dalam masa tiga tahun setelah menduduki tangga ke enam dalam senarai Jenama Terbaik Global 2017," jelas Samsung.

Syarikat berkenaan berjaya mencatat pertumbuhan konsisten dalam aspek nilai jenama sejak tahun 2000 yang hanya pada kedudukan ke-43.

Bagaimanapun, setelah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 teratas dengan kedudukan ke sembilan pada 2012, Samsung terus mencatatkan peningkatan yang kukuh hingga berjaya berada pada kedudukan ke enam pada 2017 dan kedudukan ke lima pada 2020.

Kekuatan Samsung dalam senarai 100 jenama paling berharga di Interbrand didorong oleh pengenalan produk inovatifnya serta pelaksanaan aktiviti pemasaran yang meluas di peringkat global.

Jelas Samsung lagi, tindak balas terhadap penularan COVID-19, CSR dan inovasi produk berkaitan gaya hidup serta pelaburan untuk pembangunan masa hadapan menjadi penilaian kepada peningkatan nilai jenamanya.

Sementara itu, Interbrand memberitahu, pihaknya melihat kepada empat faktor utama yang menjadi penilaian penting pertumbuhan Samsung.

  • Tindak balas pentas terhadap COVID-19 melalui aktiviti global dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kempen bersepadu global
  • Aktiviti syarikat yang dikhaskan untuk pembangunan lestari
  • Pelancaran berterusan produk inovatif termasuk Galaxy Fold, The Terrace dan peti sejuk BESPOKE
  • Pelaburan yang konsisten untuk memimpin pengembangan teknologi canggih seperti Artificial Intelligence (AI), 5G dan Internet of Things (IoT). - DagangNews.com