Skip to main content

Samsung Galaxy A03 telefon pintar mampu milik, prestasi memukau

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jan - Samsung Malaysia Electronics mengumumkan tambahan baharu keluarga Galaxy, Samsung Galaxy A03 yang mampu dimiliki dan dipadankan dengan ciri-ciri menakjubkan. 

 

Samsung dalam satu kenyataan memaklumkan, peranti itu dilengkapi kamera utama 48 megapiksel (MP) menakjubkan, bateri 5,000mAh yang boleh bertahan lama dan pemproses Octa-Core baharu dan sesuai untuk mana-mana pengguna yang mencari peranti mudah dan berkuasa.

 

Jelasnya, Galaxy A03 membolehkan pengguna menangkap gambar menakjubkan pada bila-bila masa dengan kamera utama 48MP F1.8 yang memberikan hasil jelas. 

 

"Kamera kedalaman 2MP F2.4 pula membolehkan pengguna mengambil gambar potret dengan latar belakang kabur semula jadi yang boleh diubahsuai dengan Portrait Mode. Jika anda gemar mengambil selfie, peranti ini tidak kurang daripada sempurna. 

 

"Ambil selfie yang menakjubkan dengan kamera depan 5MP F2.2. Ia hebat kerana dilengkapi pelbagai filter, selain datang dengan pelbagai efek untuk pengguna yang ingin menghasilkan gambar lebih kreatif. Aperture F2.2 rendah memberikan kabur semula jadi di latar belakang subjek anda," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, telefon pintar tersebut dilengkapi dengan pengecasan 7.75watt (W) yang boleh memberikan tempoh pengecasan yang pantas.

 

"Selain itu, One UI Core 3.1 yang lancar bukan sahaja membolehkan anda menjalankan pelbagai tugas pada satu masa, pemproses Octa-Core juga dapat menangani program berat dengan pantas dan latensi yang rendah. 

 

"Jangan bimbang tentang ruang dalam peranti, sama ada memilih RAM 3 Gigabit (Gb) dengan storan dalaman 32Gb atau RAM 4Gb dengan storan dalaman 64Gb, anda boleh meningkat storan dalaman dengan slot microSD sehingga 1 terabait (TB) untuk menyimpan lebih banyak dokumen dan gambar pada bila-bila masa sahaja," katanya.

 

Tambah kenyataan tersebut, Galaxy A03 turut dilengkapi paparan 6.5-inci Infinity-V yang besar dengan skrin HD+ akan memberikan pengalaman mengasyikkan. 

 

"Untuk peminat filem, ini akan memberi anda tayangan jelas dan bersemangat bagi filem dan siri kegemaran anda. Permainan juga lebih menyeronokkan.

 

"Dengan Dark Mode, pengguna boleh mengurangkan ketegangan mata pada waktu malam dan mengurangkan penggunaan bateri untuk pengalaman lebih selesa dan cermat," katanya.

 

Galaxy A03 datang dengan tiga warna klasik, hitam, biru dan merah bersama kemasan Glasstic yang mempunyai corak halus untuk cengkaman lebih selesa. 

 

Harga jualan disyorkan bagi peranti yang dilengkapi dengan RAM 3GB dan storan dalaman 32GB adalah RM469, manakala peranti dilengkapi dengan RAM 4GB dan storan dalaman 64GB adalah RM549.

 

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari: https://www.samsung.com/my/smartphones/galaxy-a/galaxy-a03-black-32gb-sm-a035fzkdxme. - DagangNews.com