Sarawak labur RM70 juta bangunkan projek terumbu buatan | DagangNews Skip to main content

Sarawak labur RM70 juta bangunkan projek terumbu buatan

Terumbu buatan

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Kerajaan negeri Sarawak membelanjakan RM70 juta sejak 2018 untuk membangunkan projek penanaman terumbu buatan bagi memelihara hidupan laut di perairan negeri berkenaan.

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu bertujuan untuk membantu melestarikan persekitaran laut serta menyediakan sumber makanan dan pendapatan kepada para nelayan tempatan.

"Ia membantu meningkatkan industri pelancongan negeri melalui kegiatan pelancongan negeri seperi aktiviti sukan memancing di Belawai dan Mukah termasuk industri makanan dan minuman tempatan.

"Ia juga membantu nelayan tempatan untuk meningkatkan pendapatan mereka," lapor Dayak Daily.

 

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg 

 

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran penanaman Reef Ball di Kem Putra Sentosa, Sematan hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh. 

Sebelum pelancaran tersebut, Abang Johari turut menyertai aktiviti menambat bola karang buatan di perairan Sempadi-Tanjung Datu.

Semasa aktiviti berkenaan, beliau turut menyampaikan cek kepada anggota Program Pemuliharaan Penyu di Pulau Talang-Talang Kecil dan sijil kepada para Sukarelawan Pemeliharaan Penyu.

Beliau turut menyerahkan cek Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) berjumlah RM640,000 kepada nelayan tempatan. - DagangNews.com