Sarung tangan ‘laris’, Top Glove untung bersih RM2.04 bilion | DagangNews Skip to main content

Sarung tangan ‘laris’, Top Glove untung bersih RM2.04 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Lonjakan permintaan sarung tangan susulan penularan pandemik COVID-19 yang masih berterusan telah mendorong Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) untuk mencatatkan keuntungan bersih RM2.04 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21), berakhir 31 Mei lalu. 

 

Angka itu meningkat 485% berbanding tempoh sama pada tahun lalu, iaitu RM348 juta, menurut makluman kumpulan di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Jelas Top Glove, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan bagi suku tahun semasa dipacu oleh output jualan dan purata harga jualan (ASP) yang lebih tinggi, di mana mencanak pada Februari 2021.

 

Kumpulan mengisytiharkan dividen keseluruhan berjumlah 18 sen sesaham bagi suku tahun semasa, di mana merangkumi 71% jumlah pembayaran dividen, terdiri daripada pembayaran dividen khas sebanyak 21% dan 50% lagi merupakan dasar dividen syarikat. 

 

Ini dijangka diagihkan kepada kira-kira 127,000 pemegang saham awamnya, dengan jumlah keseluruhan RM1.44 bilion yang akan dibayar pada 7 Julai 2021.

 

Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow berkata, prestasi tersebut disumbangkan oleh peningkatan dalam teknologinya ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) selain penyelidikan dan pembangunan serta inovasi kumpulan.

 

Lee Kim Meow
Lee Kim Meow

 

“Prestasi bagi perbandingan suku ke suku untuk 3QFY21 yang lebih lemah disebabkan oleh penurunan ASP, sejajar dengan trend harga pasaran sarung tangan, serta impak jualan sarung tangan dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), di mana kami sedang bekerjasama rapat dengan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS untuk menyelesaikan masalah dengan cepat,” katanya.

 

Bagi prestasi sembilan bulan pertama FY21 (9MFY21), Top Glove menyaksikan keuntungan bersih kumpulan mencanak 1,163% kepada RM7.27 bilion daripada RM575 juta. 

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan berhasrat untuk terus bekerja keras bagi memenuhi permintaan sarung tangan global yang kian meningkat, dijangka melonjak daripada kira-kira 10% semasa sebelum pandemik kepada 15% setiap tahun.

 

Bagi mencapainya, Top Glove berkata, strategi kumpulan akan terdiri daripada gabungan pengembangan organik dan bukan organik serta pelaburan strategik.

 

“Kami telah melalui beberapa kitaran yang terdiri daripada masa baik dan penuh cabaran, sejak kami memulakan perniagaan. Walau bagaimanapun, selama 20 tahun terakhir sejak penyenaraian kami di Bursa Malaysia, kami telah berjaya mencatatkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) sebanyak 28% dari segi pendapatan dan 38% pula merupakan keuntungan.

 

“Ini merupakan bukti jelas terhadap industri sarung tangan dan potensi jangka panjangnya yang meyakinkan, serta amalan persekitaran, sosial dan pentadbiran (ESG) kami yang mantap. 

 

“Ketika kami terus bekerja lebih keras, pintar dan pantas, kami juga yakin akan berada pada kedudukan yang baik untuk memuktamadkan FY21 dengan catatan positif dan sihat, sekali gus terus mencipta nilai untuk semua pihak berkepentingan,” tambah Kim Meow lagi. 

 

Setakat 2.26 petang, harga saham Top Glove meningkat 0.01 sen kepada RM4.79. - DagangNews.com