SC minta bantuan kesan Ricky Wong Shee Kai | DagangNews Skip to main content

SC minta bantuan kesan Ricky Wong Shee Kai

KUALA LUMPUR 2 Nov - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ingin mendapatkan maklumat dan bantuan daripada orang ramai untuk mengesan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Bhd (AMGB), Ricky Wong Shee Kai.

 

Waran tangkap telah dikeluarkan ke atas Wong oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 29 September 2021 atas kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

 

Menurut SC, Wong telah mengemukakan kenyataan palsu berkaitan pendapatan AMGB sebanyak RM11.13 juta kepada Bursa Malaysia. Dia kini masih bebas sejak Disember 2019.

 

``Wong menghadapi pertuduhan di bawah seksyen 369(b)B CMSA dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun.

 

``Pada 30 September 2021, SC telah mengenakan pertuduhan ke atas bekas Akauntan Kumpulan AMGB, Ong Kar Kian di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan yang sama.

 

``Sebelum ini, pada 27 Disember 2019, waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Wong oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas dia berulang kali gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC, menurut notis yang dikeluarkan di bawah seksyen 32(3)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,'' kata SC dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Butiran mengenai Wong adalah seperti berikut:

  • Wong Shee Kai / Ricky Wong (KP: 811212-14-5957)
     
  • Alamat perniagaan/pekerjaan terakhir: Asia Media Group Berhad, No. 35, First Floor, Jalan Bandar 16, Pusat Bandar Puchong, 47100 Puchong, Selangor.

 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Wong boleh memaklumkan SC secara e-mel SC di aduan@seccom.com.my atau telefon 017-3608328 / 012-9170738 / 012-6108275. - DagangNews.com