Scientex Packaging catat untung lebih rendah pada FY22 sebanyak RM43.15 juta | DagangNews Skip to main content

Scientex Packaging catat untung lebih rendah pada FY22 sebanyak RM43.15 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Sept -  Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM11.35 juta bagi suku keempat berakhir 31 Julai 2022 daripada RM8.88 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 43.5% kepada RM191.84 juta daripada RM133.73 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Peningkatan itu didorong harga jualan purata (ASP) dan permintaan yang lebih tinggi bagi jualan eksport dan domestik.

 

Jualan domestik sebagai peratusan kepada hasil kumpulan meningkat kepada 52.9% berbanding 51.1% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

 

Keuntungan operasi juga meningkat kepada RM11.05 juta bagi suku dikaji daripada RM4.95 juta sejajar dengan peningkatan pendapatan.

 

Pada suku yang sama tahun sebelumnya, kumpulan terjejas oleh isu berkaitan COVID-19 seperti penutupan kilang sementara, sekatan kapasiti tenaga kerja serta pengurangan permintaan daripada pelanggan tempatan yang memberi kesan kepada keseluruhan hasil, pengeluaran dan kecekapannya.

 

Bagaimanapun, bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Julai 2022 (FY22), kumpulan mencatat untung bersih lebih rendah sebanyak RM43.15 juta daripada RM47.03 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 28.6% kepada RM774.05 juta.

 

Kumpulan mencatatkan keuntungan operasi yang lebih rendah sebanyak RM45.11 juta daripada RM52.19 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya hasil daripada pemampatan margin.

 

Ini berikutan peningkatan keseluruhan dalam pengeluaran dan kos operasi disebabkan kos bahan mentah, pengangkutan dan kos operasi lain yang lebih tinggi. 

 

Mengenai prospek kumpulan, Scientex Packaging berkata, permintaan masih kekal kukuh di sebalik berdepan ketidaktentuan persekitaran luaran memandangkan kumpulan terus bekerjasama rapat dengan jenama antarabangsa dan tempatan bagi mencapai matlamat kemampanan.

 

Katanya, pelan pengembangan berada di landasan yang betul dan menjangkakan dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya dengan produk yang lebih inovatif dan nilai tambah apabila trend dan keperluan pembungkusan berkembang.

 

"Namun, situasi sosioekonomi semasa di Myanmar kekal mencabar kerana ketidaktentuan ekonomi dan politik yang berterusan dijangka menjejaskan operasi dan berkemungkinan memberi kesan kepada prestasi kewangan dalam tempoh terdekat, walaupun permintaan untuk produk pembungkusan plastik fleksibel (FPP) adalah menggalakkan," katanya.

 

Dalam hal ini, ia memberitahu, kumpulan akan terus bekerjasama dengan rakan usaha samanya untuk menguruskan operasinya bagi meminimumkan sebarang kesan buruk di samping meneroka pilihan yang berkaitan dengan operasi Myanmar.

 

"Selain daripada operasi Myanmarnya, kumpulan optimis bahawa ia akan berada dalam kedudukan untuk memenuhi jangkaan pelanggan dan mengekalkan prestasinya untuk tahun kewangan akan datang," tambahnya. -DagangNews.com