Skip to main content
DagangNews.com
Kolum MULANYA DI SINI - 9 May 2022

Segalanya bermula di Dent Pharm

Oleh Ts. Dr Nurhaslina Hasan

 

 

 

Dent Pharm yang merupakan singkatan bagi perkataan Dental Pharmacy pada dasarnya telah ditubuhkan sebulan setelah majlis penyerahan Fakulti Pergigian UiTM Kampus Sungai Buloh oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Pendidikan Tinggi pada tanggal 1 September 2015.

 

Penubuhannya adalah hasil inisiatif dekan yang menubuhkan fakulti itu sendiri iaitu Dato’ Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abu Hassan.

 

Objektif awal penubuhan DentPharm yang dahulunya dikenali sebagai Dental Pharma adalah bertujuan menjual barangan kesihatan pergigian kepada para pesakit yang mendapatkan rawatan pergigian di sini.

 

Sejak awal penubuhannya sehingga tahun 2019, pengurusan DentPharm telah diamanahkan kepada Timbalan Dekan Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni iaitu Prof Madya Dr Norashikin Yusof.

 

Namun di penghujung 2019 sehingga kini, hasil Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Fakulti Pergigian telah menyerahkan mandat pengurusannya di bawah Kelab Kebajikan Staf Fakulti Pergigian UiTM dan diselia oleh Koordinator MASMED Fakulti iaitu Ts Dr Nurhaslina Hasan. 
 

 

mulanya di sini
Majlis Penyerahan Bangunan Fakulti Pergigian UiTM Sungai Buloh oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Pendidikan Tinggi pada 1 September 2015.

 

masmed

 

mulanya di sini
Majlis Perasmian Dent Pharm pada 23 November 2015 oleh Prof. Ir Dr. Abdul Rahman Omar yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Innovasi) UiTM pada ketika itu.

 

 

Bermula dengan staf-staf pentadbir yang bergilir mengikut jadual membantu dalam pengurusan jual beli di Dent Pharm, kini tugas tersebut diambil alih oleh para pelajar yang belajar di fakulti ini.

 

Para pelajar ini meliputi pelajar pasca-siswazah dan juga pelajar latihan industri sama ada dari fakulti-fakulti lain dari seluruh UiTM mahupun daripada universiti luar dari UiTM.

 

Mereka ini yang mempunyai jadual waktu pembelajaran yang lebih fleksibel berbanding para pelajar Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dapat mempelajari kaedah penyimpanan data, pengurusan stor, pengurusan jual beli, serta perkhidmatan pelanggan yang meliputi khidmat nasihat bagi setiap produk pergigian yang terdapat di Dent Pharm.

 

Selain itu, Dent Pharm turut membayar elaun kepada para pelajar tersebut mengikut jumlah masa bekerja yang ditetapkan dan ia diharapkan dapat memberi inspirasi dalam menceburi bidang keusahawanan di samping memperolehi pendapatan sampingan dalam tempoh pengajian mereka.

 

Pelajar Sarjana Kedoktoran Falsafah Pergigian, Nor Amiyah Bismelah; pelajar prasiswazah jurusan perniagaan dari Fakulti Pengurusan Perniagaan, Noor Aimuni dan pelajar prasiswazah jurusan Biodiversiti dan Konservasi dari Universiti Tun Hussein Onn,  Mohammad Qamarul Mohd Zawawi,  yang menjalani latihan industri adalah antara pelajar yang telah berpeluang terlibat dalam pengurusan operasi Dent Pharm.

 

Bermula dengan modal yang dipinjam daripada pihak Pengurusan Fakulti Pergigian, sehingga kini Dent Pharm mampu berdiri sendiri dan menggunakan hasil keuntungan yang diperoleh dalam membantu kebajikan pelajar dan staf di fakulti ini.

 

Antara produk yang terdapat di Dent Pharm ialah produk penjagaan gigi palsu, pendakap gigi, penjagaan gusi, penjagaan gigi khusus seperti kanak-kanak di bawah satu tahun serta produk-produk penjagaan yang melibatkan masalah pergigian seperti keradangan gusi, kekurangan penghasilan air liur serta pemutihan gigi.

 

Tambahan lagi, Dent Pharm turut menjual barangan keperluan klinikal para pelajar pergigian seperti kit ujian pengesanan COVID-19, pelitup muka, sarung tangan, bur dan cermin mata keselamatan.

 

 

masmed
Nor Amiyah (kanan) melayani pelanggan yang membeli-belah di Dent Pharm.

 

 

Menyedari hasrat UiTM untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera, selain daripada usaha fakulti menekan kursus ENT serta penganjuran kursus-kursus keusahawanan berkaitan pergigian seperti pembukaan klinik persendirian selepas menjalani perkhidmatan wajib, Dent Pharm turut memainkan peranan tersebut dengan menawarkan penjualan produk-produk  yang dihasilkan oleh para pelajar fakulti ini.

 

Menariknya ialah kebanyakan barangan jualan ini bukanlah berasaskan pergigian, malah merupakan hasil kreatif dan minat para pelajar tersebut. Antara barang yang dijual di sini adalah aksesori rantai leher, gelang tangan, rantai kunci, baju yang dicetak atau disulam serta hasil masakan mereka sendiri.

 

Pelajar tahun 2 kursus Pembedahan Pergigian, Sheriffah Nur Athirah Al-Idid Syed Mohammed Idid,  mula menghasilkan barangan aksesorinya pada awal 2020.

 

Ini adalah berikutan pandemik yang melanda negara dan seluruh dunia, yang mengakibatkan sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan secara dalam talian.

 

Dengan banyak masa yang terluang, beliau mula menghasilkan barangan hasil tangannya sendiri dan menjualnya melalui media sosial seperti instagram dan facebook.

 

Pada awal 2022, beliau telah mula menjual hasil kreativitinya di Dent Pharm. Sebenarnya ramai lagi pelajar pergigian yang giat membuat perniagaan secara dalam talian namun mereka mempunyai persepsi bahawa pendaftaran perniagaan secara rasmi akan mengakibatkan mereka dikenakan cukai oleh pihak Lembaga Hasil dalam Negeri  (LHDN) serta berkemungkinan tidak menerima bantuan yang diberikan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

 

masmed
Sheriffah Nur Athirah Al-Idid bersama hasil kraftangannya yang diniagakan atas jenama Floral Craft yang terdapat di Dent Pharm.

 

Tiada kejayaan tanpa cabaran, begitu juga yang dihadapi oleh pihak pengurusan Dent Pharm. Di antara cabaran yang paling mencabar ialah sewaktu pandemik mula melanda Malaysia dan juga seluruh dunia di mana pelitup muka dan juga sarung tangan yang sepatutnya dibekalkan oleh Dent Pharm bagi keperluan para pelajar pergigian bagi menjalani sesi klinikal mengalami kekurangan bekalan serta kenaikan harga sehingga 200 %.

 

Selain itu juga, akibat kawalan pergerakan diperketatkan di pertengahan sehingga ke penghujung tahun 2020 dan juga di pertengahan tahun 2021 mengakibatkan banyak produk kesihatan pergigian seperti  Pharm ubat gigi dan ubat kumur yang telah mencapai tarikh luput.

 

 

masmed

 

masmed
Antara Produk Penjagaan Kesihatan Mulut yang terdapat di Dent Pharm

 

 

Namun demikian, sebaik sahaja aktiviti ekonomi dan sosial mula dibuka, Dent Pharm mampu menjana pendapatan bagi menggantikan semula kerugian yang dialami.

 

Bergerak ke hadapan, pengurusan Dent Pharm berhasrat untuk membuka ruang niaga dalam talian yang menawarkan produk-produk penjagaan kesihatan oral dengan tambah nilai yang utama iaitu khidmat nasihat daripada pakar-pakar yang terdapat di fakulti ini.  

 

 

Ts. Dr Nurhaslina Hasan merupakan Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA

 

 

Portfolio Tags