Sekatan eksport ayam bersifat sementara sehingga harga, bekalan kembali stabil | DagangNews Skip to main content

Sekatan eksport ayam bersifat sementara sehingga harga, bekalan kembali stabil

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Sekatan eksport ayam pedaging hidup yang masih berkuat kuasa ketika ini hanya bersifat sementara sehingga harga dan pengeluaran ayam domestik kembali stabil.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kerajaan sedar peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan kos makanan ternakan dan pemberhentian eksport memberi kesan kepada penternak.

 

“Dalam hal ini buat pertama kalinya, kerajaan bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur berjumlah RM1.1 bilion secara keseluruhannya bagi meringankan beban penternak ayam. 

 

"Pemberian subsidi ini bermula 5 Februari 2022 dan akan berakhir pada 31 Ogos 2022.

 

“Setakat 29 Julai 2022, sebanyak 8,907 permohonan subsidi diluluskan berjumlah RM748 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

 

Kementerian itu Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa memantau dan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam termasuk di peringkat ladang bagi memastikan bekalan dan kelangsungan pengeluaran ayam negara berada pada tahap optimum dan stabil.

 

kiandee
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

 

Ronald berkata demikian sebagai  menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang ingin tahu kerugian dihadapi sektor penternakan ayam seluruh Malaysia sejak larangan eksport ayam berkuat kuasa pada 1 Jun 2022.

 

Sementara itu, menjawab soalan Dr.  Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) berkenaan stok penimbal negara bagi beras, Ronald berkata ketika ini kedudukan stok penimbal beras adalah pada paras 221,313 tan iaitu 88.5% daripada jumlah sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu 250,000 tan menjelang 2022.

 

Beliau berkata, kerajaan sedang menggandakan stok penimbal beras secara berperingkat daripada 150,000 tan kepada 290,000 tan menjelang 2023 bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara serta menghadapi sebarang situasi luar jangka.

 

“Bagi menampung keperluan beras negara, kementerian sentiasa memastikan kedudukan stok beras sentiasa melebihi paras purata keperluan iaitu 200,000 tan sebulan.

 

“Kedudukan stok beras di dalam negara di peringkat kilang, borong dan runcit sentiasa pada kadar konsisten setiap masa iaitu purata 400,000 tan hingga 500,000 tan,” katanya. - DagangNews.com